Aksi Harimau Malaya menentang Taiwan dalam Kelayakan Piala Dunia 2026 pada bulan Jun ini kemungkinan diadakan di luar Lembah Klang.

Ini kerana terdapat penganjuran konsert yang akan berlangsung pada bulan Mei di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) dan ia mungkin memberi kesan kepada permukaan padang.

Baca Juga:

Naib Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Mohd Firdaus Mohamed berkata pihaknya tidak menolak kemungkinan tukar venue aksi menentang Taiwan namun akan melihat dahulu keadaan padang SNBJ.

“Kita akan pantau keadaan padang Stadium Nasional, sebab saya juga difahamkan ada satu konsert lagi akan diadakan di Stadium Nasional. Itu pun memberi kita satu tekanan juga sama ada kita nak menggunakan atau tidak Stadium Nasional.

“Namun, kita akan buat lawatan dan tengok keadaan padang dulu. Kita tiada kompromi, kalau padang boleh guna kita akan guna kerana keutamaan kita adalah pemain dan kita tak nak mereka cedera,” katanya dalam Arena Metro.

Dua venue yang dipertimbangkan untuk menggantikan SNBJ ialah Stadium Sultan Ibrahim di Johor Bahru dan Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Kuala Terengganu.

Minggu lepas, Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) memaklumkan penganjur masih boleh membuat tempahan untuk konsert, namun sebarang struktur pentas dan menara bunyi adalah dilarang dipasang di atas padang.

“Ini merupakan langkah untuk tidak menjejaskan rumput di SNBJ dan memastikan rumput berada dalam keadaan optimum untuk perlawanan bola sepak yang akan datang,” menurut kenyataan rasmi.

Sebelum ini, PSM mendapat banyak kritikan khususnya dari peminat bola sepak tanah air dimana mereka menganggap badan itu gagal menjaga permukaan padang yang ditanam rumput Zeon Zoysia.

Keadaan padang SNBJ beberapa kali berada dalam keadaan teruk ketika Malaysia menerima kunjungan Oman baru-baru ini dan juga ketika JDT bertemu Terengganu dalam perlawanan akhir Piala Malaysia musim lalu.