Baru-baru ini, ketua jurulatih Harimau Malaya, Pau Marti Vicente mengesahkan pasukan kelab utama di New Zealand menjadi lawan kedua selepas gagal mendapatkan pasukan kebangsaan negara lain untuk aksi persahabatan antarabangsa.
Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) cuba mengatur perlawanan dengan lapan negara Oceania termasuk Kepulauan Solomon, Fiji, Tahiti, New Caledonia, Vanuatu dan Papua New Guinea namun ditolak.
Baca Juga:
- Lapan Pasukan Oceania Tidak Mahu Lawan Harimau Malaya
- Ramai Mahu Jadi Ketua Jurulatih Skuad Harimau Malaya
- Harimau Malaya Bakal Ada Lagu Sendiri Ciptaan Warner Music Malaysia
Timbalan Presiden FAM, Datuk Mohd Yusoff Mahadi mendedahkan terdapat beberapa kekangan yang perlu dihadapi dalam perancangan untuk mengaturkan aksi persahabatan antarabangsa.
“Kita cuba dapatkan dua pasukan tetapi saya akui ada beberapa kesukaran terutama selepas pasukan membuat persiapan masing-masing. Mereka tidak tolak (pelawaan) tetapi mereka ada komitmen lain yang mereka buat untuk kepentingan pasukan mereka.
“Kita faham masalah ini dan sampai kita nak dapatkan pasukan di bawah kita untuk sekadar dapatkan aksi persahabatan pun sukar juga kerana mereka ada persediaan tersendiri yang bersesuaian untuk mereka.
“Dalam keadaan sekarang, bukanlah pasukan besar tidak mahu bermain dengan kita kerana mereka pun nampak (kemampuan pasukan kita) tetapi mereka ada sasaran sendiri. Cuma mungkin masa tak kena kerana mereka terbabit dengan perlawanan lain.
“Jadi kekangan itu daripada pihak pasukan lawan dan bukan daripada pihak kita,” katanya dalam Berita Harian.

Skuad Harimau Malaya akan bermain satu Perlawanan Antarabangsa Tier 1 menentang New Zealand di Auckland pada 14 Oktober 2024.
Perlawanan ini memberikan satu peluang yang cukup berharga kerana New Zealand berada di kedudukan ke-95 dunia.
FAM kini sedang menunggu maklum balas daripada beberapa lagi pasukan untuk melengkapkan perlawanan bagi jendela FIFA pada November nanti.
“Kita sah ada satu perlawanan menentang India pada 19 November dan kita sedang mendapatkan maklum balas daripada pasukan itu sebelum kita umumkan nanti,” kata Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman.