Persatuan Bolasepak Malaysia atau FAM menerusi kenyataan Pemangku Presidennya, Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi, terkejut dengan keputusan FIFA yang menolak rayuan mereka.

Semalam FIFA mengeluarkan kenyataan bahawa rayuan FAM tidak diterima dan 7 pemain warisan Malaysia kekal digantung 12 bulan dan denda.

Sementara FAM pula masih kekal didenda kira kira RM1.8 juta kerana kesalahan pemalsuan dokumen.

Rayuan Ditolak, FIFA Kekalkan Hukuman Terhadap FAM Dan Tujuh Pemain Warisan

Dalam kenyataannya, FAM menyatakan: “Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) telah menerima keputusan rayuan daripada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), di mana rayuan kami telah ditolak.”

Nekad bawa kes ke CAS

FAM kemudian menegaskan bahawa mereka akan membawa kes ini ke Mahkamah Timbang Tara Sukan untuk mencabar keputusan FIFA.

FIFA memberikan FAM masa 21 hari untuk mengemukakan rayuan di CAS.

FAM menambah: “FAM akan menulis kepada FIFA untuk mendapatkan butiran penuh serta alasan bertulis keputusan tersebut sebelum mengambil langkah seterusnya bagi mengemukakan rayuan ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (Court of Arbitration for Sport, CAS).”

Menurut FAM, ini adalah kali pertama FAM berdepan dengan situasi seperti ini. Pihak pengurusan dan peguam  FAM benar benar terkejut dengan keputusan FIFA kali ini.

Namun FAM memutuskan bahawa mereka akan terus memperjuangkan hak para pemain dan kepentingan bola sepak Malaysia di peringkat antarabangsa.

FAM berkata lagi: “Ini merupakan kali pertama FAM berdepan dengan situasi seperti ini, dan pihak peguam serta pengurusan kami amat terkejut dengan keputusan tersebut. Walau bagaimanapun, FAM akan terus teguh memperjuangkan hak para pemain dan kepentingan bola sepak Malaysia di peringkat antarabangsa.”