Legenda Manchester United, Rio Ferdinand menegaskan bahawa Arsenal kini tidak mempunyai pencabar yang setanding dalam English Premier League (EPL) 2026/27.

Bekas pertahanan England itu percaya kestabilan yang dimiliki Arsenal di Emirates Stadium memberikan kelebihan besar kepada skuad kendalian Mikel Arteta tersebut berbanding pencabar lain yang kini sedang melalui fasa peralihan besar.

Arsenal memulakan usaha untuk mempertahankan kejuaraan EPL dengan kemenangan meyakinkan 3-0 ke atas Coventry City sekali gus mengukuhkan status mereka sebagai pasukan pilihan untuk ditewaskan selepas kejayaan bersejarah musim lalu.

Skuad kendalian Arteta itu menamatkan penantian selama 22 tahun apabila merangkul trofi tersebut pada Mei lalu dan Ferdinand percaya The Gunners berada dalam kedudukan terbaik untuk membentuk era dominasi baharu ketika pencabar mereka pula dilihat bergelut.

Tiada Pasukan Mampu Cabar Arsenal

“Itulah yang saya jangkakan daripada Arsenal,” ujar Ferdinand ketika menilai persembahan Arsenal bertemu Coventry menurut sumber laporan Goal.

” ‘Solid’, sukar untuk ditewaskan, menutup ruang pihak lawan dan kemudian memanfaatkan beberapa kesilapan mereka sebelum menghukumnya.”

“Mereka bermain seperti juara. Saya tidak melihat mana-mana pasukan mampu mencabar mereka musim ini. Mereka satu-satunya pasukan yang mempunyai kestabilan. Pasukan lain semuanya mengalami perubahan besar.”

“Manchester City telah kehilangan pengurus mereka dan pemain paling penting dalam bola sepak, jadi saya tidak melihat mereka mampu mencabar atau berada sedekat seperti yang mereka lakukan dalam beberapa tahun kebelakangan ini.”

“Manchester United masih dalam fasa peralihan dan proses pembinaan semula di bawah kendalian pengurus yang masih agak baharu. Manchester United perlu meletakkan sasaran yang realistik.”

“Saya fikir mereka akan menamatkan musim dalam kelompok empat teratas dan saya akan berpuas hati jika mereka berjaya berada dalam kelompok empat teratas.”