Fulham seakan-akan menyindir pegawai Premier League apabila jaringan Josh King yang dibatalkan menentang Chelsea tempoh hari telah memenangi undian Anugerah Gol Terbaik Kelab bagi bulan Ogos.

Penyudah menakjubkan remaja itu mungkin tidak dikira, namun para penyokong memastikan ia kekal dalam ingatan dengan memberikannya 83 peratus undian yang luar biasa.

Baca Juga:

Insiden yang dimaksudkan berlaku pada minit ke-22 dalam pertembungan Fulham menentang seteru London barat mereka itu.

King menyambar hantaran leret bijak daripada Sander Berge dan kemudiannya meluru dengan memperdayakan Tosin Adarabioyo hingga terjatuh dalam satu gerakan helah yang cukup kemas, sebelum melepaskan rembatan kencang menewaskan penjaga gol, Robert Sanchez.

Kegembiraan Fulham meraikan jaringan itu berubah menjadi kemarahan apabila Video Assistant Referee (VAR) yang dikendalikan Michael Salisbury menasihatkan pengadil, Rob Jones untuk meneliti semula insiden pertembungan beberapa saat lebih awal antara Rodrigo Muniz dan Trevoh Chalobah berhampiran garisan tengah.

Muniz secara tidak sengaja terpijak kaki Chalobah dan selepas beberapa minit yang tegang, pengadil akhirnya membatalkan gol tersebut kerana dianggap sebagai satu kekasaran.

Ketua Pegawai Pengadil di Professional Game Match Officials Limited (PGMOL), kemudiannya mengakui bahawa para pegawai perlawanan tersebut telah membuat keputusan yang silap.

Beliau menyifatkan pembatalan gol itu sebagai satu ‘kesilapan pertimbangan’ dan menegaskan bahawa baik VAR mahupun pengadil sepatutnya membenarkan jaringan tersebut kekal.

Panel semakan bebas Premier League turut sependapat dengan Webb, mengeluarkan kenyataan bahawa ‘keputusan asal di atas padang’ untuk membiarkan permainan diteruskan adalah tindakan yang tepat.

Keputusan sebulat suara itu membuatkan kekecewaan Fulham semakin terasa, lebih-lebih lagi apabila mereka akhirnya tewas 2-0.

Fulham Raikan Jaringan Joshua King

Berikutan keputusan yang jelas tidak adil tersebut, reaksi Fulham adalah untuk tetap meraikan jaringan tersebut.

Pengumuman gol terbaik bulan ini memuji ketenangan dan kemahiran King, sambil menegaskan bahawa walaupun detik itu telah ‘dirampas’, tidak dapat dinafikan kehebatan usahanya.

“Jaringan menakjubkan King di gelanggang lawan telah diundi sebagai Gol Terbaik Fulham bagi bulan Ogos,” ujar Fulham dalam satu kenyataan rasmi dikeluarkan laman sesawang kelab itu.

“Walaupun ia secara kejam telah dibatalkan hasil usaha anak muda berusia 18 tahun itu.”

“Kemahiran yang dipamerkan tidak dapat dinafikan, apabila beliau yakin meluru menyambut hantaran bagi memecahkan benteng Chelsea daripada Sander Berge dan memotong masuk melepasi Tosin, sebelum menjatuhkan bekas pemain Fulham itu dengan gerakan tipuan dan melepaskan rembatan menembusi celah kakinya menuju ke ‘near post’.”

“Hakikat bahawa beliau memperoleh 83.1 peratus undian membuktikan betapa istimewanya detik itu.”

Sumber