Malaysia bakal berdepan laluan sedikit berliku dalam Kejohanan Futsal AFF 2024 apabila telah diundi bersama-sama dua pasukan yang berpengalaman dalam kancah Piala Dunia.

Dua pasukan dimaksudkan ialah gergasi Asia, Thailand yang sedang beraksi di Piala Dunia Futsal dan juga merupakan tuan rumah kejohanan serta Vietnam.

Baca Juga:

Manakala, Timor Leste dan Brunei melengkapkan dua lagi pasukan yang akan bersaing dalam kumpulan A.

Seperti diketahui, Thailand sememangnya merupakan lawan terkuat buat skuad negara yang dikendalikan oleh Rakphol Sainetngam.

Walaupun sering tewas kepada pasukan ranking kesembilan dunia itu, beberapa perlawanan terakhir menyaksikan Malaysia dilihat berjaya memberikan saingan sengit terutamanya ketika mereka hanya tewas 1-2 pada Mac lalu.

Situasi sama ketika berhadapan dengan Vietnam yang menyaksikan Malaysia tewas 0-3 dan menang 3-1 pada siri perlawanan persahabatan di Ho Ci Minh City, beberapa bulan lalu.

Bagi kumpulan B pula, Indonesia telah diundi bersama-sama Australia, Myanmar dan Kemboja. Dua pasukan tangga teratas setiap kumpulan akan mara ke separuh akhir.

Thailand merupakan pemenang terbanyak saingan yang mula dipertandingkan pada 2001 itu apabila menjuarai 16 edisi kejohanan.

Indonesia berjaya menjuarai edisi 2010 dimana pada ketika itu Thailand tidak menyertai kejohanan tersebut. Manakala, Malaysia pula lima kali muncul naib juara.

Edisi terakhir pada 2022 menyaksikan Malaysia yang ketika itu dibimbing Chiew Chun Yong gagal melepasi peringkat kumpulan selepas tewas 2-4 kepada Thailand dan Indonesia (1-5).

Kejuaraan Futsal AFF 2024 bakal berlangsung pada 2 hingga 10 November nanti dan berkemungkinan diadakan di Terminal 21, Korat.