Malaysia mempamerkan kebangkitan hebat sebanyak dua kali untuk mengikat Afghanistan 3-3 pada aksi pertama Kejohanan Futsal NSDF 2024 yang berlangsung di Nonthaburi, sebentar tadi.
Berdepan lawan yang layak ke pusingan akhir Piala Futsal Asia 2024 ia langsung mengganggu rentak anak buah Rakphol Sainetngam itu untuk menguasai permainan.
Baca Juga:
- Pemain JDT Dominasi Senarai Ke Sesi Latihan Pusat Skuad Futsal Malaysia
- Rakphol Sainetngam Mahu Anak Buah Manfaat Peluang Aksi Di Thailand
- RASMI: Helio Neto Kini Bersama Skuad Futsal JDT
Ia jelas dibuktikan dengan serangan demi serangan dijelmakan oleh barisan pemain Malaysia tetapi penjaga gol Afghanistan, Ali Reza Jafari cukup kental terutamanya pada babak pertama.
Deretan percubaan dimiliki pemain negara antaranya menerusi Abu Haniffa Hassan dan Saad Sani dinafikan dengan cemerlang penjaga gol tersebut.
Dalam keghairahan mencipta serangan, Malaysia dihukum pada minit kesembilan dan minit ke-19 hasil jaringan Reza Hosseinpoor serta Mehram Ghulami yang membolosi gawang skuad negara dikawal Aiman Fikry Ramly.
Kekentalan Ali Reza Jafari akhirnya runtuh pada minit ke-30 apabila percubaan tonjol yang cukup padu oleh Awalluddin Mat Nawi gagal diselamatkannya untuk Malaysia merapatkan defisit jaringan.
Awalluddin terus menjadi masalah buat pemain skuad ranking ke-53 dunia itu selepas Maysam Faizi dilayangkan kad merah susulan kekasaran dilakukannya terhadap tonggak negara tersebut.
Kesempatan itu digunakan sepenuhnya Malaysia untuk mengikat kembali kedudukan hasil jaringan Ahmad Harith Na’im Mohd Nasir pada minit ke-33.
Enggan sekadar berkongsi mata, Afghanistan menggunakan taktikal ‘Power Play’ dan ia membuahkan hasil pada minit ke-39 dimana rembatan Ghulami berjaya menghasilkan gol ketiga.
Kegembiraan itu bagaimanapun tidak bertahan lama selepas Awalluddin menyudahkan peluang terhidang menerusi serangan balas pada saat akhir permainan untuk kedua-dua pasukan terikat 3-3.