Malaysia menamatkan Kejuaraan Futsal NSDF 2024 dikedudukan keempat selepas tunduk kepada Afghanistan 2-3 pada aksi yang berlangsung di Nonthaburi, sebentar tadi.
Ia juga bermakna skuad kendalian Rakphol Sainetngam itu menamatkan kempen dengan satu keputusan seri dan tiga kekalahan.
Baca Juga:
- VIDEO: Ketenangan Awalluddin ‘Perdayakan’ Dua Pemain Thailand
- Futsal NSDF 2024: Malaysia Gagal Halang Kebangkitan Australia
- Futsal NSDF 2024: Malaysia Tewas Tipis Kepada Thailand
Namun, terdapat perkara positif yang boleh diperkatakan dimana ketiga-tiga kekalahan tersebut hanya dengan keputusan tipis (jurang satu gol).
Masih memburu kemenangan sulung pada kejohanan ini, Malaysia tampil dengan cukup baik pada awal saingan yang menyaksikan Ridzwan Bakri mendapat peluang seawal minit kedua.
Berpunca daripada Abu Haniffa Hassan yang berjaya merampas bola dari kaki pemain Afghanistan, Ridzwan bagaimanapun meledakkan rembatan tepat ke dakapan penjaga gol, Mohammad Javad Safari.
Kehampaan itu ditebus dua minit kemudian apabila bola hasil tolakan Mahadir Harahap Khairuddin yang cuba dinafikan Safari melantun masuk ke gawang Afghanistan untuk meletakkan Malaysia di hadapan.
Kealpaan skuad negara ketika bertahan dihukum pada minit kelapan selepas Mehram Ghulami yang tidak dikawal mudah menolak masuk bola hasil hantaran lintang Akbar Kazemi.
Seminit kemudian, Malaysia terpaksa bermain dengan kekurangan seorang pemain setelah penjaga gol, Aiman Fikry Ramli dilayangkan kad merah susulan kekasaran dilakukannya terhadap Ghulami.
Skuad negara bagaimanapun kental bertahan dalam tempoh dua minit dengan hanya empat pemain dalam mengekang asakan hebat dijelmakan Afghanistan.
Keadaan yang membuatkan penjaga gol gantian, Muhammad Syawal Sabaruddin bekerja keras menghalang pintu golnya daripada dibolosi lawan.
Memasuki minit ke-16, Afghanistan berada dihadapan menerusi satu lagi jaringan mudah hasil tolakan Kazemi ketika beliau hanya sudah melepasi kawalan pemain negara.
Kegembiraan mereka bagaimanapun hanya mampu bertahan seminit apabila rembatan Mohamad Danial Dain ketika situasi sepakan percuma berjaya menewaskan Javad Safari.
Aksi babak kedua tidak kurang menariknya dengan siri serangan balas dihasilkan kedua-dua pasukan dalam usaha menambah jaringan.
Afghanistan lebih bernasib baik dimana percubaan lambung Kazemi berjaya memerangkap Syawal yang pantas keluar bagi menutup ruang untuk meletakkan pasukan ranking ke-50 dunia itu berkelebihan satu gol pada minit ke-29.
Taktikal ‘Powerplay’ yang digunakan untuk memburu jaringan penyamaan tidak membuahkan hasil sekali gus Malaysia menamatkan saingan Futsal NSDF 2024 dikedudukan keempat.