Warga maya hari ini dikejutkan dengan penularan gambar keadaan mayat kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin di media sosial.

Dua gambar berkenaan yang dipercayai ketika proses bedah siasat dimuat naik di aplikasi Telegram sejak malam tadi.

Baca Juga:

Kedua-dua gambar tersebut memaparkan keadaan kanak-kanak berkenaan selepas ditemui di anak sungai berhampiran kediamannya di Apartmen Idaman, Damansara Damai pada Disember tahun lepas.

Penyebaran gambar itu telah menerima pelbagai reaksi dalam kalangan warga maya yang geram melihat kekejaman dilakukan oleh pembunuh tanpa belas kasihan.

Sebelum ini, ibu bapa Zayn Rayyan Abdul Matiin didakwa di Mahkamah Seksyen atas tuduhan mengabai dengan kemungkinan menyebabkan kecederaan terhadap kanak-kanak autisme itu.

Namun begitu, Zaim Ikhwan Zahari dan Ismanira Abdul Manaf masing-masing berusia 29 tahun mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dikemukakan terhadap mereka di hadapan Hakim Dr Syahliza Warnoh.

Pendakwaan mengikut Seksyen 31(1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan dibaca bersama Seksyen 34 akta sama yang memperuntukkan denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Ku Hayati Ku Haron dan Ahmad Zuhaini Mahamad Amin, manakala peguam Fahmi Abd Moin dan Mahmud Jumaat masing-masing mewakili Zaim Ikhwan dan Ismanira.