Legenda Manchester United, Gary Neville mengeluarkan amaran tegas kepada pengurus tertinggi kelab tersebut supaya mencari calon lain untuk jawatan pengurus tetap.
Neville kelihatan masih belum yakin dengan kemampuan Micheal Carrick dalam membimbing Manchester United.
Prestasi United di bawah kendalian Carrick memang cukup luar biasa apabila mereka meraih lima kemenangan daripada enam aksi English Premier League (EPL), sekali gus kembali menghidupkan peluang untuk bersaing merebut tempat ke UEFA Champions League (UCL).
Rentetan cemerlang itu turut menyaksikan mereka mencatat kemenangan berturut-turut ke atas dua pencabar kejuaraan iaitu Manchester City dan Arsenal.
Neville Mahukan Pengurus Baharu
Namun, Neville berpendapat kelab tidak boleh mengambil risiko sekali lagi dengan melantik individu yang kurang pengalaman bagi peranan sebesar itu.
“Manchester United perlu mencari pengurus lain sekarang kerana kita tidak tahu bagaimana keputusan-keputusan selepas ini akan berlaku.”
“Namun perkara kecil seperti Thomas Tuchel menandatangani semula kontrak bersama skuad kebangsaan England sedikit sebanyak mengecilkan pilihan yang ada buat United, dan ia secara tidak langsung tidak menjejaskan peluang Michael untuk mendapatkan jawatan tersebut.”
“Jika dia berjaya membawa United ke UCL, pasti akan ada gelombang sokongan kuat agar dia dilantik,” ujar Gary Neville menurut sumber laporan Goal.
“Saya bukan menentang pelantikannya, saya amat menyayanginya. Tetapi saya fikir United perlu mendapatkan pengurus kelas terbaik yang ada di pasaran.”
“Dalam dua pelantikan terakhir, mereka memilih pengurus muda dan kurang berpengalaman. Ole Gunnar Solskjaer pernah datang sebagai bekas pemain dan pada akhirnya ia tidak menjadi.”
“Jadi saya merasakan mengurangkan risiko semaksimum mungkin adalah pilihan yang paling tepat,” tambah beliau lagi.