Seorang guru muda didakwa sanggup merelakan dirinya menjadi muflis ekoran tidak mampu membayar bebanan komitmen bulanan yang tinggi.
Menerusi perkongsian di Facebook, hantaran guru terbabit menarik perhatian netizen selepas dia berkongsi perbelanjaan bulanannya yang tinggi dalam masa mendedahkan gajinya sahaja tidak cukup kerana perlu melangsaikan komitmen dan hutang tertunggak.
“Gaji kasar RM4,500 tapi bersih tinggal RM1,400. Belum lagi potong RM770 untuk Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) dan bayaran Aeon Credit berjumlah RM224.
Tambah guru itu, bebanan kewangan lebih kritikal kerana dia mempunyai tiga orang anak yang sudah tentu memerlukan perbelanjaan besar.
“Suami kerja sendiri, gaji pun tak tentu kadang ada kadang tak ada. Saya berniat nak mufliskan diri sebab tak terdaya dah bayar komitmen yang tinggi.
“Ada ke seorang guru berumur 33 tahun muflis? Saya baru tujuh tahun berkhidmat. Apa apa apa esan di masa akan datang tak? Rumah LPPSA dilelong? Saya ada sebuah kereta je, akan dirampas kah?, soalnya.
Susulan itu, rata-rata netizen memberi pendapat masing-masing dalam membantu memyelesaikan permasalahan guru terbabit.
Ada yang mencadangkan agar dia dan suami melakukan kerja lain untuk menambah pendapatan mereka.
Memandangkan dia seorang guru, netizen turut mencadangkan agar dia membuat pendapatan sampingan dengan menjadi guru tuisyen atau home tutor dan ada juga yang menasihatinya untuk ‘downgrade’ kehidupannya sekarang.
Kata seorang individu lain, menjadi muflis tidak mengubah keadaan dan masalah kewangannya masih ada jadi ia bukanlah solusi yang terbaik buatnya pada masa ini.