Hasrat Hakim Danish Ramli untuk memburu keputusan terbaik di Grand Prix (GP) Perancis 2026 tidak berhasil apabila keadaan litar basah dan licin di Le Mans memusnahkan rentak agresifnya.
Pelumba pasukan AEON Credit-MT Helmets-MSI akur menamatkan perlumbaan di kedudukan ke-10 untuk membawa pulang enam mata berharga dalam perlumbaan penuh mencabar apabila menyaksikan hampir separuh pelumba gagal menamatkan saingan akibat terjatuh.
Hakim Danish yang memulakan perlumbaan di petak ke-12 turun ke Le Mans dengan keyakinan cukup tinggi selepas mempamerkan aksi cukup meyakinkan sepanjang hujung minggu perlumbaan.
Anak jati Terengganu itu bukan sahaja berjaya menembusi sesi kelayakan kedua (Q2), malah konsisten mencatat masa yang baik pada sesi latihan bebas pertama hingga sesi kelayakan ketika keadaan litar kering.
Namun, segala-galanya berubah sebaik hujan membasahi Litar Le Mans sebelum perlumbaan bermula dan pasukan terpaksa mencari setup berlainan buat Hakim Danish.
Bagaimanapun, ketiadaan data terutama bagi situasi hujan di Le Mans ternyata memberi tamparan besar buat Hakim Danish apabila pasukan terpaksa membuat pertaruhan terhadap pelarasan jentera yang digunakan Hakim Danish.

Situasi itu menyebabkan Hakim Danish bergelut untuk mendapatkan keyakinan penuh terhadap jentera, sekali gus memaksa beliau menukar strategi daripada memburu kelompok hadapan kepada misi bertahan sehingga ke garisan penamat.
Dalam keadaan litar yang cukup berbahaya, pendekatan lebih berhati-hati akhirnya menyelamatkan Hakim Danish daripada menjadi antara mangsa kemalangan di Le Mans.
Hasil keputusan tersebut, Hakim kini berada di kedudukan ke-15 carta keseluruhan dengan mengumpul 18 mata.
Walaupun gagal menamatkan perlumbaan dalam kelompok lebih baik, keputusan di Le Mans tetap memberi petanda positif buat Hakim Danish menjelang aksi seterusnya di Catalunya berdasarkan peningkatan prestasinya sepanjang hujung minggu dalam keadaan litar kering.

Hakim Danish Tetap Positif
“Syukur Alhamdulillah, saya berjaya menamatkan perlumbaan di Le Mans di kedudukan ke-10 terbaik. Dalam perlumbaan hari ini yang berlangsung dalam keadaan hujan, saya melakukan permulaan yang baik dan cuba berada dalam kelompok hadapan.”
“Namun, ia agak sukar kerana saya rasa kurang yakin ketika bersaing dalam keadaan litar basah. Mungkin setup jentera pada hari ini juga tidak begitu sesuai dengan keadaan perlumbaan, jadi saya agak sukar untuk mendapatkan keyakinan penuh ketika menunggang.”
“Saya cuba mengekalkan rentak dan kedudukan kerana jika terlalu memaksa, kemungkinan untuk terjatuh pada perlumbaan ini memang tinggi.”
“Secara keseluruhan, saya sebenarnya sangat yakin sepanjang hujung minggu ini ketika keadaan litar kering kerana setup jentera sangat baik.”
“Tetapi bagi perlumbaan hari ini, kami tidak mempunyai sebarang sesi latihan mahupun data dalam keadaan hujan dan terus berlumba dalam situasi tersebut.”
“Apa pun, saya ambil semua perkara positif daripada hujung minggu ini dan akan terus bekerja keras sebagai persediaan menghadapi perlumbaan seterusnya di Catalunya nanti,” ujar beliau lagi.