Kejayaan mencipta sejarah dengan meraih kemenangan sulung di pentas Kejuaraan Dunia Moto3 di Litar Brno, Republik Czech semalam sememangnya meninggalkan detik yang sukar dilupakan buat pelumba muda negara, Hakim Danish Ramli.

Selepas menampilkan tunggangan penuh berani dan bijak, beliau mengakui kemenangan itu cukup istimewa buat dirinya, pasukan serta seluruh rakyat Malaysia yang sentiasa memberikan sokongan.

“Ini adalah kemenangan yang sangat istimewa buat saya, pasukan serta seluruh penyokong Malaysia. Hujung minggu ini bukan mudah kerana kami berdepan pelbagai cabaran, namun saya tidak pernah berhenti percaya kepada kemampuan diri sendiri dan kerja keras yang dilakukan bersama pasukan.”

“Saya amat bersyukur kerana akhirnya berjaya meraih kemenangan pertama di pentas Kejuaraan Dunia Moto3. Perasaan saya ketika ini sukar untuk digambarkan dengan kata-kata. Saya sangat gembira dan bangga dapat menghadiahkan keputusan ini kepada semua yang sentiasa menyokong saya.

“Perlumbaan tadi [semalam] memang cukup mencabar. Saya melakukan permulaan yang baik dan perlu bekerja keras untuk mengejar kelompok di hadapan.”

“Sedikit demi sedikit saya berjaya memintas beberapa pelumba hadapan saya. Selepas itu, saya cuba kekal bersama kelompok hadapan sambil mengenal pasti bahagian yang boleh digunakan untuk memintas serta aspek yang perlu diperbaiki sepanjang perlumbaan.”

“Pada pusingan terakhir, saya memberikan segala-galanya dan menolak jentera hingga ke had maksimum. Ketika itu, dua pelumba di hadapan melakukan kesilapan apabila terbabas sedikit dari garisan perlumbaan dan saya segera mengambil peluang tersebut untuk memintas mereka.”

“Syukur, strategi itu menjadi dan saya berjaya melintasi garisan penamat di kedudukan pertama. Kemenangan ini adalah hasil usaha seluruh pasukan.”

“Saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua penaja, pasukan, keluarga dan para penyokong yang sentiasa berada di belakang saya.”

“Sokongan anda semua memberi motivasi besar untuk saya terus berjuang dan mengharumkan nama Malaysia di pentas dunia,” tambah Hakim Danish lagi.

Kemenangan bersejarah itu bukan sahaja menghadiahkannya 25 mata maksimum, malah melonjakkan kedudukan Hakim Danish ke tempat ketujuh keseluruhan Kejuaraan Dunia Moto3 dengan 73 mata.

Maximo Quiles dari CFMOTO Gaviota Aspar Team terus mengukuhkan kedudukan sebagai pendahulu kejuaraan dengan 186 mata, diikuti Alvaro Carpe di tangga kedua menerusi 121 mata. Manakala Brian Uriarte menghuni kedudukan ketiga dengan 82 mata. 

Lebih membanggakan, kejayaan di Brno turut menyaksikan Hakim Danish mengukuhkan kedudukannya di tangga ketiga carta Rookie of the Year Moto3 2026 dengan 73 mata.

Pelumba negara itu kini hanya dipisahkan sembilan mata daripada Veda Pratama yang berada di kedudukan kedua dengan 82 mata, manakala Uriarte mendahului carta pendatang baharu terbaik dengan 92 mata.