Pelumba Moto3 negara, Hakim Danish Ramli tidak kecewa apabila terlepas peluang untuk menaiki podium dalam perlumbaan di Litar Antarabangsa Sepang meskipun sudah memberikan aksi terbaik sehingga ke penghujung perlumbaan.

Bermula di petak ketiga pada perlumbaan Ahad lalu, Hakim Danish yang bersaing sengit sejak awal perlumbaan terpaksa berpuas hati menamatkan saingan di kedudukan keempat selepas gagal memintas pelumba di hadapannya iaitu Alvaro Carpe dan Veda Pratama pada selekoh terakhir.

Hakim Danish Tak Kecewa Dengan Persembahannya Meskipun Gagal Raih Podium Di Sepang

Menurutnya, beliau sudah berusaha sedaya upaya untuk mendapatkan kedudukan podium, namun sedikit kesilapan pada penghujung perlumbaan menyebabkan peluang tersebut terlepas.

Keputusan itu memberikan 13 mata tambahan kepada Hakim Danish, menjadikan kutipan keseluruhan musim ini sebanyak 116 mata dan meletakkannya di tangga kesembilan Kejuaraan Dunia Moto3.

Dalam carta kejuaraan, Quiles terus mendahului dengan 376 mata, diikuti David Almansa (228 mata), manakala Brian Uriarte dan Carpe berkongsi 205 mata. Pratama pula berada di tangga ketujuh dengan 131 mata.

Hakim Danish Tetap Berpuas Hati

“Saya sangat gembira kerana sudah memberikan segala-galanya dalam perlumbaan hari ini. Saya bersaing sejak awal hingga tamat perlumbaan dan sudah tentu saya mahu meraih podium. Namun, saya terlepas peluang itu dan terpaksa berpuas hati dengan kedudukan keempat.”

“Saya cuba sedaya upaya untuk merebut podium, tetapi ketika di selekoh terakhir, saya cuba mencari ruang untuk memintas Alvaro Carpe sebelum sedikit terbabas. Apa pun, saya sudah memberikan yang terbaik buat semua penonton, keluarga dan pasukan.”

Dalam pada itu, Hakim Danish turut mengulas mengenai insiden sentuhan dengan pelumba lain yang berlaku sepanjang perlumbaan, namun menegaskan perkara tersebut tidak memberikan kesan terhadap prestasinya.

“Mengenai sentuhan dengan pelumba lain, saya rasa insiden itu langsung tidak menjejaskan prestasi saya. Saya juga berpendapat persaingan dengan pelumba lain menjadikan perlumbaan lebih menarik untuk disaksikan oleh semua yang hadir di Sepang.”

Mengulas mengenai rekod podium Zulfahmi Khairuddin di Sepang, Hakim Danish percaya bekas pelumba negara itu tidak terlalu kecewa dengan keputusan yang diraihnya kali ini.

“Mengenai rekod podium Zulfahmi di Sepang, saya rasa beliau tidak terlalu kecewa. Mungkin beliau juga gembira dengan persembahan saya. Saya memang cuba menamatkan perlumbaan di podium hari ini, tetapi mungkin belum ada rezeki. Insya-Allah, saya akan mencuba sekali lagi tahun depan.”

Hakim Danish Tak Kecewa Dengan Persembahannya Meskipun Gagal Raih Podium Di Sepang

Dalam perkembangan sama, Hakim Danish tidak mahu terlalu lama memikirkan kegagalan tersebut memandangkan masih terdapat tiga perlumbaan berbaki sebelum tirai musim ini dilabuhkan.

“Ya, masih ada tiga perlumbaan berbaki musim ini. Saya percaya tidak mustahil untuk menaiki podium atau meraih kemenangan sekali lagi. Saya akan terus berjuang mencapai sasaran itu dan sentiasa berusaha memberikan yang terbaik dalam setiap perlumbaan.”