Hakim Danish Ramli kini mengalihkan sepenuh tumpuan kepada Grand Prix (GP) Australia di Litar Phillip Island hujung minggu ini dengan sasaran meraih keputusan positif sekali gus mengumpul mata berharga dalam saingan Kejuaraan Dunia MotoGP 2026.
Pelumba pasukan AEON Credit-MT Helmets-MSi itu bertekad bangkit selepas mengharungi perlumbaan mencabar di GP Indonesia, apabila penalti grid memaksanya memulakan perlumbaan dari petak terakhir.

Walaupun berjaya melakukan kebangkitan dan menghampiri kelompok 10 terbaik, insiden pada penghujung perlumbaan menyaksikan beliau menamatkan saingan di tempat ke-14.
Pengalaman di Mandalika itu tidak mematahkan semangat pelumba berusia 19 tahun berkenaan. Sebaliknya, Hakim Danish mahu menjadikan perlumbaan di Australia sebagai peluang untuk memperbaiki prestasi, mengutip mata dan membina momentum positif.
Hakim Danish Mahu Bangkit
GP Australia bakal memberikan cabaran berbeza buat Hakim Danish memandangkan Phillip Island merupakan litar baharu baginya.
Litar ikonik itu terkenal dengan selekoh berkelajuan tinggi serta keadaan cuaca yang sukar diramal, sekali gus menuntut persediaan rapi dan tahap konsistensi yang tinggi sepanjang hujung minggu perlumbaan.
Perlumbaan kali ini turut membawa kepentingan tersendiri apabila Phillip Island dijadualkan menjadi tuan rumah GP Australia buat kali terakhir sebelum kejuaraan berpindah ke Adelaide bermula 2027.
Dengan baki perlumbaan yang semakin penting, Hakim Danish mahu memanfaatkan setiap sesi latihan untuk memahami karakter litar, menilai tahap prestasi jentera dan menentukan strategi terbaik bagi menghadapi sesi kelayakan serta perlumbaan sebenar.
Beliau turut meneliti semula rakaman perlumbaan terdahulu bersama pengurusnya, Zulfahmi Khairuddin bagi mengenal pasti ruang penambahbaikan serta mengurangkan risiko kesilapan yang boleh menjejaskan peluang meraih mata.
“Persiapan saya menjelang GP Australia berjalan dengan baik dan saya sangat teruja untuk berlumba di Phillip Island kerana litar ini masih baharu bagi saya.”
“Saya juga tidak sabar untuk beraksi di sana kerana melihat kepada litar itu, saya rasa ia sangat menarik. Saya menantikan sesi latihan pertama pada Jumaat ini.”
“Bagi persiapan menghadapi perlumbaan di Phillip Island, saya menjalani latihan di Malaysia selain meneliti semula kesilapan yang dilakukan dalam dua perlumbaan sebelum ini.”

“Saya cuba memperbaiki kelemahan yang dikenal pasti dan mahu memberikan aksi terbaik minggu ini sebelum pulang untuk menghadapi perlumbaan di laman sendiri di GP Malaysia.”
“Kecederaan akibat kemalangan sebelum ini juga semakin pulih. Walaupun masih ada sedikit rasa sakit, keadaan itu bukan penghalang untuk saya terus berjuang dan memberikan yang terbaik,” tambah Hakim Danish lagi.