Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh memberi tanggapan mengenai surat layang yang mendedahkan salah laku dalam Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) baru-baru ini.

Dipetik dari laporan Astro Arena, Hannah menganggap surat layang adalah satu perkara biasa dalam organisasi besar dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bersedia campur tangan sekiranya ada bukti penyelewengan berlaku.

Baca Juga:

“Kalau semua orang berhenti kerja untuk layan surat layang agak susah untuk semua. Dalam semua syarikat, semua tempat pun saya percaya sudah jadi kebiasaan. Kalau ada laporan dibuat, itu kita akan ambil tindakan,” katanya.

Dalam satu sidang akhbar selepas Kongres FAM ke-60 di Subang Jaya pada Isnin, Presiden FAM iaitu Datuk Hamidin Mohd Amin mengulas mengenai surat layang yang beredar dimana beliau menganggap surat itu sebagai satu fitnah dan tohmahan semata-mata selain datang daripada pihak yang mempunyai rasa tidak puas hati dengan kepimpinan tertinggi FAM.

FAM
Sumber Gambar: FAM

Oleh itu, Datuk Hamidin menegaskan pihaknya akan melakukan siasatan dalaman bagi mencari sumber ataupun individu yang menghantar surat tersebut.

“Kalau surat seperti ini dihantar setiap masa, letih juga kita nak melayan. Kami telah bersetuju untuk melakukan siasatan dan mencari punca dari mana dan siapa yang menghantar email ini.

“Sekiranya ada staf FAM yang terlibat, maka kita akan mengambil tindakan terhadap beliau,” katanya.

Dalam masa yang sama, Datuk Hamidin kesal dengan beredarnya surat layang tersebut namun beliau dan pemegang taruh dalam badan itu harus kuat berdepan dengan isu sedia ada.

“Saya sedih surat layang itu datang pada 10 malam terakhir Ramadan tapi kita kena tabah untuk menghadapinya. Kita tahu apabila surat layang ini keluar, netizen akan terus menghukum.

“Kalau anda semua boleh lihat dan nilai sama ada dia ada niat baik atau tidak baik untuk bola sepak negara. Kalau macam ini susah kita nak pergi Piala Dunia,” katanya.