Kira-kira 12,000 pengusaha restoran India Muslim di seluruh negara, yang perniagaannya bergantung kepada beras putih import, terkejut berikutan langkah Padiberas Nasional Bhd (BERNAS) menaikkan harga barangan makanan itu minggu lepas.

Di sebalik kenaikan itu, pengusaha restoran yang menganggotai Persatuan Pemilik Restoran Muslim Malaysia (PRESMA) itu berkata mereka masih menjual makanan membabitkan penggunaan beras putih pada harga sedia ada tanpa mengurangkan bahagian yang dihidangkan kepada pelanggan mereka.

Baca Juga:

Presiden PRESMA Datuk Jawahar Ali Taib Khan berkata keadaan itu akan menjejaskan margin keuntungan ahli persatuan itu sekiranya tiada langkah campur tangan diambil bagi menangani kenaikan harga beras putih import atau meningkatkan pengeluaran makanan ruji tempatan.

“Saya telah meminta kira-kira 12,000 ahli persatuan mengelak sama ada dinaikkan secara drastik atau tidak sama sekali harga makanan yang dihidangkan di premis mereka.

“Kalau boleh, kita nak pastikan sifar kenaikan (walaupun BERNAS mengambil langkah menaikkan harga beras putih import).

“Bagaimanapun, ini bukan penyelesaian jangka panjang yang mampan. Sesuatu perlu dilakukan untuk meningkatkan keselamatan makanan negara,” katanya kepada New Straits Times.

Jawahar bagaimanapun tidak menolak kemungkinan ahli persatuan itu akan menaikkan harga barangan makanan mereka jika tiada penyelesaian jangka panjang atau secara baik untuk menangani kenaikan harga barangan.

Beliau bagaimanapun memberi jaminan bahawa anggota Presma tidak akan menaikkan harga makanan yang dihidangkan di premis mereka sewenang-wenangnya.

“Kami akan mengadakan perbincangan dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup sekiranya kami tidak dapat menampung kenaikan harga barangan makanan,” katanya.

Bagi Persatuan Sahabat Tomyam Prihatin Semalaysia pula, langkah BERNAS menaikkan harga jualan beras putih import daripada RM2,350 setan kepada RM3,200 setan tidak mungkin menjejaskan perniagaan kira-kira 5,000 pengusaha restoran yang menganggotai persatuan tersebut.

Penasihatnya Che Mamat Chemod berkata ahli persatuan itu menggunakan beras putih tempatan berbanding beras import.

Sementara itu, Presiden Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) Datuk N. Marimuthu juga berasa kurang bersetuju dengan kenaikan harga jualan beras putih yang diimport.

Walaupun persatuan itu masih belum menerima aduan daripada rakyat mengenai perkara itu, Marimuthu berkata kerajaan perlu mencari alternatif atau langkah untuk mengurangkan kesan kenaikan harga beras putih import.

Terdahulu, BERNAS dilaporkan telah menaikkan harga jualan beras putih import di seluruh negara berkuat kuasa 1 September.

Pengimport tunggal beras negara, dalam satu kenyataan pada hari Jumaat, berkata ia telah berlaku menyerap kesan kenaikan harga beras import sejak beberapa tahun kebelakangan ini.