Bekas pengurus, Harry Redknapp tanpa berselindung menyuarakan keraguan terhadap kemampuan Michael Carrick sebagai pengurus Manchester United.
Beliau berpendapat bahawa skuad semasa The Red Devils tidak memiliki kualiti yang diperlukan untuk mencabar kejuaraan utama.
Menulis dalam kolumnya seperti dilaporkan Goal, Redknapp mendedahkan bahawa beliau amat terkejut apabila Carrick memilih untuk menceburi bidang kejurulatihan.
Redknapp Amat Mengenali Carrick
Redknapp yang pernah membimbing bekas pemain tengah itu ketika bersama West Ham United memuji kecerdasan Carrick dalam memahami permainan bola sepak, namun pada masa sama mempersoalkan sama ada personalitinya sesuai untuk menggalas tugas sebagai pengurus.
“Saya tidak boleh mengatakan bahawa saya sentiasa melihat ciri-ciri seorang pengurus dalam dirinya.”
“Michael seorang yang baik, berasal daripada keluarga yang baik, selain pemain bola sepak yang sangat bijak, memahami permainan, mampu membaca perlawanan dan mengawalnya.”
“Namun, dia juga seorang yang pendiam dan bersikap tenang. Itulah dirinya.”
Menurut Redknapp lagi, masalah utama Manchester United terletak pada kekurangan pemain berkualiti akibat kelemahan dalam urusan perpindahan pemain.
Beliau turut mengimbas kembali bagaimana dirinya hampir mendapatkan khidmat Carrick dengan harga £2.5 juta beberapa tahun lalu, sekali gus menunjukkan betapa lama beliau mengagumi pemain itu.
Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa tiada pengurus mampu mencatat kejayaan bersama barisan pemain semasa kerana skuad itu tidak mempunyai kemampuan untuk mencabar Arsenal dan Manchester City.
“Dari segi pengambilan pemain, mereka masih kekurangan. Pengambilan pemain, pengambilan pemain, pengambilan pemain, itulah masalahnya.”
“Anda boleh menukar Michael esok, tetapi mereka tetap tidak akan menamatkan musim ini di kedudukan lebih baik daripada tempat kelima atau keenam.”
Keputusan seri ke atas Leeds United semalam menyaksikan Manchester United kini hanya mampu mengumpul tujuh mata daripada tujuh perlawanan dilalui untuk berada di kedudukan ke-13. Mereka kini hanya dua mata dipisahkan dengan zon penyingkiran.