Ketua jurulatih sektor beregu lelaki negara, Herry Iman Pierngadi jelas masih belum berpuas hati walaupun barisan anak buahnya sudah memenangi enam kejuaraan dalam tempoh enam bulan awal beliau bersama skuad badminton Malaysia.
Anak buah Herry dilihat cukup cemerlang sebaik berada di bawah kendalian beliau apabila Aaron Chia-Soh Wooi Yik memenangi Kejuaraan Asia, Terbuka Thailand dan Terbuka Singapura.
Baca Juga:
- Soh Wooi Yik Dedah Sentuhan Kelas Dunia Herry Iman Di Sebalik Transformasi Permainan Bersama Aaron

- Herry Iman Jadi Buah Mulut Peminat Indonesia Selepas Aaron-Wooi Yik Muncul Juara BAC 2025

- Wan Arif-Yap Roy King Kejutkan Pilihan Pertama Dari Indonesia, Muncul Juara Terbuka Macau 2025

Man Wei Chong-Tee Kai Wun pula berjaya menjuarai Indonesia Masters dan Malaysia Masters manakala yang terbaharu, Wan Arif Junaidi-Yap Roy King memenangi Terbuka Macau pada minggu lalu.

Pasangan ranking ke-24 dunia itu berjaya menewaskan pilihan pertama dari Indonesia, Sabar Karyaman Gutama-Moh Reza Pahlevi Isfahani di pentas final.
Juara Dunia Sasaran Herry Iman
Jurulatih berpengalaman itu tidak terlalu terbuai dengan kejayaan demi kejayaan tersebut tetapi sebaliknya tetap menuntut lebih kejuaraan dimenangi pemainnya.
Malah, kini Herry Iman meletakkan sasaran utama ke atas gelaran paling berprestijĀ iaitu Kejohanan Dunia di Paris pada hujung bulan ini.
“Saya harap kita dapat lahirkan juara dunia tahun ini. Tak kisah pasangan mana pun, asalkan dari Malaysia,” ujar beliau menurut sumber BH Sukan.

Berdasarkan rekod, satu-satunya wakil Malaysia yang berjaya mengecapi nikmat sebagai juara dunia ialah menerusi Aaron Chia-Soh Wooi Yik pada edisi 2022 di Tokyo.
Kali ini, empat pasangan akan mewakili Malaysia di Paris dimana tiga gandingan di bawah naungan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) iaitu Aaron-Wooi Yik, Wei Chong-Kai Wun dan Arif-Roy King, selain pasangan profesional, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani yang kini berada di ranking keempat dunia.