Wan Arif Junaidi-Yap Roy King menamatkan kempen Terbuka Macau 2025 dengan penuh bergaya selepas berjaya muncul selaku juara kejohanan Super 300 itu.

Kejayaan manis itu hadir selepas mereka mengejutkan pilihan pertama dari Indonesia, Sabar Karyaman Gutama-Muh Reza Pahlevi Isfahani dengan kemenangan ‘straight set’.

Baca Juga:

Berdepan lawan yang turut berada di ranking lebih baik (kelapan dunia) jelas memberikan kesukaran buat Arif dan Roy King.

Malaysia
Wan Arif Junaidi-Yap Roy King. Kredit Foto: NSTP/ASYRAF HAMZAH

Lebih memburukkan keadaan, momentum perlawanan sering terganggu apabila gelanggang terpaksa dilap berkemungkinan disebabkan kebocoran pada bumbung stadium.

Anak buah Herry Iman Pierngadi itu bagaimanapun menyerap tekanan dengan baik terutamanya ketika bangkit daripada ketinggalan 18-20 untuk menang set pertama dengan mata 22-20.

Skrip sama berulang pada set kedua apabila mereka mempamerkan kebangkitan selepas ketinggalan dengan jurang tiga mata 11-14 dan 13-16.

Tidak mahu impian untuk muncul juara buat pertama kali dalam siri Jelajah Dunia (World Tour), wakil negara tampil dengan lebih garang untuk memadamkan jurang tersebut sekali gus menjuarai kejohanan dengan kemenangan 21-18.

Wan Arif Junaidi-Yap Roy King Tamatkan Rentetan Kekalahan

Kemenangan itu turut menamatkan rentetan tiga kekalahan berturut-turut Arif-Roy King di tangan pasangan tersebut.

Dengan kejayaan manis itu, mereka yang kini menghuni ranking ke-24 dunia membawa pulang hadiah wang tunai bernilai $29,230 (RM125,018.83).

Malaysia
Kredit Foto: NSTP/EFFENDY RASHID

Sementara itu dalam acara perseorangan lelaki, Justin Hoh terpaksa berpuas hati selaku naib juara selepas tewas kepada pemain Indonesia, Alwi Farhan untuk memenangi hadiah wang tunai bernilai $14,060 (RM60,135.64).