Skuad futsal Selangor gagal meneruskan rentak cemerlang dalam kejohanan Ho Chi Minh City Futsal Open 2023 apabila tewas 2-9  kepada Sahako Futsal Club pada aksi separuh akhir yang berlangsung di Stadium Lanh Binh Thang sebentar tadi.

Kekalahan besar itu menyaksikan Selangor akan beraksi pada penentuan tempat ke-3/4 bertemu Thai Son Nam yang tewas kepada Thammasat Stallion.

Baca Juga:

Tran Van Sang hampir meletakkan Sahako di hadapan pada minit keempat tetapi tandukannya selepas menerima hantaran jauh penjaga gol, Mai Xuan Hiep sekadar singgah di palang gol.

Selangor kemudiannya turut mendapat peluang terbaik, bagaimanapun Syed Aizad Daniel Syed Nasir tidak berupaya menolak masuk bola hasil lorongan Matheus Vasconcelos Silva.

Sahako berjaya membuka tirai jaringan juga pada minit keempat menerusi serangan balas pantas dimulakan Van Sang disudahkan dengan tenang buat Doan Minh Man untuk menolak masuk gol pertama.

Seminit kemudian, Mai Xuan Hiep turut mencipta nama selaku penjaring apabila sepakan terus penjaga gol tersebut daripada kawasannya tidak mampu diselamatkan Syaifuddin Syukri Ibrahim Lincoln.

Dua gol dibolosi itu membuatkan Helmi Imran dibawa masuk bagi menggantikan Syaifuddin yang jelas tidak seperti dua perlawanan terdahulu.

Wellington Pereira Rodrigues Adao berjaya mengurangkan defisit jaringan pada minit ke-12 selepas beliau menyudahkan peluang terhidang susulan lorongan cantik daripada Matheus.

Jaringan itu jelas tidak langsung mengganggu semangat juang pemain Sahako untuk menambah jaringan ketiga menerusi ‘setpiece’ yang disudahkan oleh Dinh Cong Vien pada minit ke-13.

Tidak sampai seminit juga menerusi situasi bola mati, Huynh Mi Woen menjadikan kedudukan 4-1 selepas kombinasinya bersama Chu Van Tien tidak mampu dikawal rapi pemain Selangor bagi membolehkan Mi Woen menjaringkan gol.

Sahako hampir menambah jaringan kelima tetapi sepakan penalti kedua yang diambil Cong Vien diselamatkan oleh Syaifuddin Syukri pada minit ke-16.

Masih belum puas dengan kelebihan empat jaringan tersebut, Phan Thanh Nguuyen mengambil kesempatan berikutan kegagalan pemain Selangor mengeluarkan bola daripada kawasan bahaya pada minit ke-26 untuk menewaskan Helmi Imran.

Berselang seminit kemudian, Van Sang menyempurnakan peluang hasil sepakan penjuru diambil Ngo Ngoc Son menambah derita anak buah Edgar Eder Baldsso itu.

Kesilapan di kawasan sendiri pada minit ke-32 ketika perebutan bola di udara menyaksikan tandukan Thanh Nguyen membias terkena Ali Imran Hassan lalu bola bergolek masuk ke gawang sendiri untuk kedudukan 7-1 memihak Sahako.

Satu lagi jaringan skuad futsal Selangor hadir menerusi situasi ‘power play’ oleh Khairul Effendy Bahrin tetapi pasukan tuan rumah menambah dua lagi jaringan menerusi Xuan Hiep dan gol sendiri Matheus.

Kedudukan 2-9 itu kekal hingga tamat permainan untuk Sahako memastikan slot ke perlawanan akhir menjadi milik mereka untuk bertemu Thammasat Stallion.