Malaysia meraih kemenangan pada aksi pertama Super Four Kejohanan Hoki Piala Asia 2025 selepas menundukkan China 2-0 di Kompleks Sukan Rajgir, India sebentar tadi.
Super Four merupakan pusingan dimana dua pasukan terbaik bagi dua kumpulan berbeza ditempatkan dalam satu kumpulan untuk merebut tempat ke final.
Baca Juga:
- Dari Padang Sekolah Ke Pentas Dunia, Bagaimana Program TNB Thunderbolts Lahirkan Bintang Hoki Malaysia

- Sohail Abbas Kini Penolong Jurulatih Skuad Hoki Malaysia

- Malaysia Layak Ke Piala Dunia Hoki Dalam Dewan 2025

Pasukan yang muncul juara kejohanan ini bakal layak secara automatik ke Piala Dunia Hoki 2026 di Belanda.

Skuad Hoki Negara Bermula Baik
Skuad hoki Malaysia yang cemerlang dengan tiga kemenangan di peringkat kumpulan mempamerkan aksi bertenaga dalam usaha memburu kemenangan ke atas China.
Dua suku pertama menyaksikan perlawanan seimbang dan China mendapat beberapa pukulan sudut penalti, tetapi jentera pertahanan dan penjaga gol, Hafizuddin Othman kental dalam mengawal gawang negara.
Jaringan dinantikan skuad negara hadir pada minit ke-45 menerusi pukulan sudut penalti Syed Syafiq Syed Cholan yang beraksi dalam kesakitan akibat retak tulang jari tangan.
Meskipun percubaan tersebut pada mulanya diselamatkan penjaga gol, Wang Caiyu tetapi ia masih belum cukup untuk menghalang jaringan pembukaan skuad negara.

Jaringan tersebut jelas menyemarakkan lagi api perjuangan barisan anak-anak buah Sarjit Singh yang menambah jaringan kedua berselang dua minit kemudian.
Gol tersebut berpunca daripada gerakan lincah Fitri Saari masuk ke dalam kawasan D lawan kemudiannya melakukan hantaran yang dikuis masuk peledak berbisa Akhimullah Anuar Esook.
Ia merupakan jaringan ke-10 peribadi Akhimullah setakat ini dimana lapan daripadanya terhasil menerusi jaringan padang.
Cabaran lebih getir menanti skuad hoki Malaysia apabila bakal berdepan tuan rumah, India pada aksi kedua pada jam 10.00 malam esok.