Skuad hoki remaja Malaysia tampil dengan cukup garang untuk membelasah Indonesia pada aksi kedua Kejohanan Hoki Piala Asia Bawah 18 Tahun (B-18) 2025 yang berlangsung di Dazhou, China sebentar tadi.

Ia merupakan kali kedua berturut-turut skuad kendalian Mohd Sufian Mohamad itu meraih kemenangan selesa dimana semalam mereka turut cemerlang membelasah Kazakhstan dengan keputusan 4-0.

Malaysia Cemerlang Pada Aksi Kedua

Masih segar dengan kemenangan tersebut, Malaysia tidak menunggu lama untuk membuyka tirai jaringan apabila Iman Faris Faizo menyempurnakan pukulan sudut penalti seawal minit ketiga permainan.

Memasuki suku kedua, Iman Faris sekali lagi membuktikan ketajamannya dalam menyudahkan pukulan sudut penalti apabila meletakkan nama selaku penjaring kedua pada minit ke-20.

Empat minit kemudian, giliran Muhammad Safwan Salihe pula menyempurnakan peluang terhidang menerusi situsi tersebut bagi menjadikan kedudukan 3-0.

Jentera serangan negara terus bernafsu untuk menambah jaringan selepas hanya memerlukan seminit bagi menambah gol keempat menerusi jaringan padang Muhammad Saiful Syahfy Mohd Baddruddin.

Muhammad Izz Ilhan Azrul Ridzuan berjaya menambah gol kelima selepas beliau menolak mudah menewaskan penjaga gol Indonesia ketika bola pukulan rakan sepasukannya naik tinggi ke dalam kawasan D lawan.

Gol keenam skuad negara hadir pada minit ke-44 hasil serangan balas pantas yang kemudiannya disudahkan oleh Muhamad Hisyammudin Abdul Rani.

Malaysia menambah empat lagi jaringan pada suku keempat menerusi Aferullsyah Ahmad Azuan Syahril (minit ke-47), Muhammad Safwan Salihe (minit ke-50 dan ke-60) untuk melengkapkan hatrik dan Muhammad Rafiq Mohamad Raze pada minit ke-54).

Aksi ketiga bakal dihadapi skuad negara adalah pada Ahad nanti jam 8.30 pagi apabila dijadualkan bertemu Chinese Taipei.

Jepun dan Uzbekistan turut berada satu kumpulan dengan Malaysia.