Malaysia bangkit daripada ketinggalan untuk mengikat Pakistan 3-3 pada aksi pembukaan kumpulan B Kejohanan Hoki Piala Negara-Negara 2024/25 yang berlangsung di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, sebentar tadi.

Aksi penuh dramatik itu menyaksikan skuad The Speedy Tigers mempamerkan semangat juang tinggi apabila dua kali bangkit daripada ketinggalan berdepan lawan yang cukup garang pada suku pertama.

Ia jelas dibuktikan dengan dua gol dihasilkan skuad kendalian Tahir Zaman itu menerusi jaringan padang Ahmad Nadeem pada minit keenam dan dua minit kemudian oleh Abdul Rehan (pukulan sudut penalti).

Tersentak dengan dua jaringan pantas tersebut, pemain negara memperkemaskan aksi dalam usaha untuk merapatkan jurang gol.

Kebangkitan Malaysia

Malaysia mendapat dua peluang terbaik untuk menghasilkan jaringan, tetapi penjaga gol Pakistan, Muneeb Ur-Rehman cemerlang dalam menafikan percubaan jarak dekat oleh Azrai Aizad Abu Kamal dan Akhimullah Anuar Esook.

Jaringan yang dinantikan kem Malaysia hadir pada minit ke-49 apabila Fitri Saari mudah menolak masuk bola ketika situasi kelam-kabut dalam kawasan D lawan untuk gol pertama skuad negara.

Jaringan itu jelas menyemarakkan api perjuangan barisan pemain negara yang menambah gol kedua pada minit ke-52 hadir pukulan sudut penalti Syed Syafiq Syed Cholan.

Kegembiraan penyokong Malaysia itu hanya bertahan dua minit selepas Waheed Ashraf Rana mencipta jaringan ketiga buat Pakistan walaupun pasukannya hanya beraksi dengan 10 pemain.

Syed Syafiq akhirnya memastikan perlawanan berakhir dengan satu mata apabila beliau sekali lagi menyudahkan pukulan sudut penalti untuk memusnahkan harapan Pakistan untuk meraih kemenangan.

Cabaran anak buah Sarjit Singh akan diteruskan malam esok dimana Malaysia bakal menentang New Zealand pada jam 8.00.