Ketua jurulatih skuad hoki Malaysia, Sarjit Singh tidak mahu melihat penyakit lama yang sering kali menjadi masalah buat The Speedy Tigers.

Penyakit yang dimaksudkan ialah kealpaan pada lewat permainan hingga menyebabkan pasukan lawan dapat membolosi gawang skuad negara.

Baca Juga:

Perkara tersebut nyata bukan perkara baharu buat pasukan hoki negara kerana beberapa kali situasi itu menghampakan serta meranapkan impian Malaysia.

Malah, sebelum Sarjit membimbing pasukan lagi masalah berkaitan hilang fokus pada lewat permainan sering kali menghantui seperti ketika di final Sukan Asia 2018 dan perlawanan terakhir Kelayakan Sukan Olimpik 2024.

Petang semalam, keadaan sama hampir berulang dimana skuad negara hilang fokus ketika mendahului 5-1 dan hanya mencatatkan kemenangan 5-4 ke atas Austria pada aksi klasifikasi tempat ke-7/8 Kejohanan Hoki Piala Negara-Negara 2023/24.

“Untuk menjaringkan lima gol memang kami berpuas hati. Tetapi agak mengecewakan apabila kami melepaskan tiga gol setelah mendahului 5-1.”

“Penyakit ini perlu dihentikan dan diperbaiki segera,” ujar Sarjit mengulas mengenai keadaan tersebut.

“Saya melihat dua pemain muda menyerlah dan konsistensepanjang kejohanan ini. Muhamad Faris Harizan dan Azimuddin Syakir Kamaruddin, mereka bermain dengan cukup baik.”

“Secara keseluruhan di kejohanan ini kami mampu untuk menjaringkan gol dengan jumlah yang banyak dan kami sentiasa bermula baik pada awal permainan.”

“Pasukan juga memandang ke hadapan untuk membuat penambahbaikan segala kelemahan yang ada pada kejohanan ini,” tambah Sarjit Singh lagi.