Cristiano Ronaldo berdepan kemungkinan digantung dalam tempoh yang panjang selepas meninggalkan kem skuad Portugal secara mengejut susulan pertelingkahan dengan ketua jurulatih, Jorge Jesus.
Seperti dilaporkan sebelum ini, penyerang veteran itu dilaporkan meninggalkan kem latihan Portugal di Copenhagen selepas diketepikan daripada kesebelasan utama ketika menentang Norway.
Hukuman Bakal Menanti Cristiano Ronaldo
Menurut sumber laporan Goal, Ronaldo berdepan kemungkinan penggantungan sehingga enam bulan selepas meninggalkan kem latihan skuad kebangsaan tanpa bersalaman atau mengucapkan selamat tinggal kepada rakan sepasukan.
Keputusan mengejut itu dibuat susulan pertelingkahan tegang dengan ketua jurulatih, Jorge Jesus, sebelum penyerang tersebut mengadakan perbincangan dengan Presiden Persatuan Bola Sepak Portugal (FPF), Pedro Proença.
Mengikut peraturan disiplin persatuan bola sepak Portugal, tindakan meninggalkan tugasan antarabangsa tanpa alasan yang sah boleh menyebabkan pemain veteran itu dikenakan penggantungan panjang selain denda kewangan.
Ancaman tindakan disiplin itu dinyatakan secara jelas dalam kod tatakelakuan badan induk bola sepak Portugal.
Peraturan disiplin FPF menetapkan bahawa mana-mana pemain yang telah dipanggil secara rasmi tetapi meninggalkan atau gagal menghadiri sesi latihan, perlawanan atau sebarang aktiviti skuad kebangsaan tanpa alasan yang sah boleh dikenakan penggantungan antara satu hingga enam bulan.
Jika pemain berkenaan berstatus profesional, hukuman tambahan berupa denda antara €500 hingga €1,000 juga boleh dikenakan.
Pertelingkahan itu tercetus selepas Jesus tidak menurunkan Cristiano Ronaldo ketika Portugal menentang Norway, sebelum jurulatih tersebut sekali lagi mempertahankan keputusannya untuk mengetepikan penyerang itu ketika sidang media praperlawanan.