Selepas menghabiskan tiga tahun secara berturut-turut dipinjamkan ke kelab lain, Arijon Ibrahimovic yang kini berusia 20 tahun akhirnya diberi peluang untuk membuktikan kemampuannya bersama Bayern Munich bagi menghadapi musim 2026/27.
Menurut sumber laporan Bein Sports, Arijon Ibrahimovic telah menandatangani lanjutan kontrak bersama Bayern Munich sehingga 2028 dan Vincent Kompany mahu menyerapkannya ke skuad utama untuk mengharungi musim baharu.
Sejak 2023, Ibrahimovic menjalani tiga tempoh pinjaman berasingan bersama Frosinone, Lazio dan Heidenheim. Namun, pemain berusia 20 tahun itu kini akhirnya diberi peluang untuk bersaing merebut tempat dalam skuad utama Bayern.
Pemain yang boleh beraksi di posisi tengah dan sayap itu mempamerkan aksi cemerlang bersama Heidenheim sepanjang musim lalu apabila merekodkan tujuh sumbangan gol iaitu dua jaringan dan lima bantuan gol dalam 34 penampilan di semua pertandingan.
Peluang Buat Arijon Ibrahimovic
“Arijon menyertai Bayern ketika usianya baru 12 tahun. Dia berkembang selangkah demi selangkah menerusi akademi kami serta beberapa tempoh pinjaman yang dirancang dengan teliti,” kata Pengarah Sukan Bayern Munich, Christoph Freund.
Welcome back, Ari! 👋
FC Bayern plans to have Arijon Ibrahimović in the first-team setup for the new season ahead!
🔗 https://t.co/jclH3YeoYX pic.twitter.com/gKV6JKH8yO
— FC Bayern (@FCBayernEN) July 7, 2026
“Khususnya sepanjang musim lalu bersama Heidenheim, dia banyak berkembang sebagai individu dan kini bersedia untuk menyarung jersi Bayern. Perkembangannya menjadi contoh terbaik terhadap peluang yang kami berikan kepada pemain-pemain muda berbakat.”
“Kini, ia bukan lagi sekadar proses pembelajaran, sebaliknya masanya sudah tiba untuk dia mencipta impak bersama Bayern.”
Ibrahimovic sebelum ini telah membuat dua penampilan bersama Bayern, termasuk melakukan penampilan sulungnya di Bundesliga sebagai pemain gantian pada minit ke-77 ketika membantu pasukan itu menewaskan Bochum 3-0, tiga tahun lalu.
Ketika itu, beliau muncul sebagai pemain kedua termuda pernah membuat penampilan bersama juara Bundesliga itu, hanya di belakang Paul Wanner.
Lanjutan kontrak Ibrahimovic hadir selepas Bayern melengkapkan perpindahan Ismael Saibari dari PSV Eindhoven serta pertahanan kiri Nathaniel Brown daripada pencabar Bundesliga, Eintracht Frankfurt.