Mahkamah Sesyen Petaling Jaya hari ini mendapati ibu Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matin, Ismanira Abdul Manaf, 30, sebagai bersalah mengabaikan anak sendiri.
Zayn Rayyan yang ketika itu berusia 6 tahun dilaporkan hilang pada 5 Disember 2023 ketika Ismanira menjemputnya pulang dari sekolah.
Satu operasi pencarian besar besaran dibuat, yang akhirnya mayat mangsa ditemui di sebuah anak sungai yang kira kira 200 meter dari kawasan kediaman mereka.
Hakim Dr. Syahliza Warnoh telah memutuskan pengadilan sedemikian setelah pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah dan pihak pendakwaan berjaya menimbulkan kes melangkaui keraguan munasabah terhadap Ismanira Abdul Manaf – lapor Kosmo Online.
Mengikut pertuduhan pindaan Ismanira adalah individy yang mempunyai pemeliharaan terhadap anak mereka, Zayn Rayyan yang masih berusia enam tahun ketika kejadian. Namun tertuduh telah gagal dalam tanggungjawabnya.
Prosiding kemudian ditangguhkan buat sementara waktu selepas permohonan oleh pihak pembelaan. Ini untuk membolehkan mereka menyediakan hujahan mitigasi bagi permohonan untuk pengurangan hukuman.
KES ABAI ZAYN RAYYAN | Ibu kepada kanak-kanak austisme, Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matin, Ismanira Abdul Manaf, 30, didapati bersalah atas pertuduhan pengabaian dengan cara yang mungkin menyebabkannya mengalami kecederaan fizikal terhadap anaknya itu dua tahun lalu.… pic.twitter.com/wChRpJorbk
— Buletin TV3 (@BuletinTV3) October 31, 2025
Pada 21 Julai lalu, Hakim Syahliza telah memutuskan bahawa pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie ke atas Ismanira. Dan dia dibenarkan untuk membela dirinya.
Dalam pertuduhan yang sama, suami kepada Ismaniar, Zaim Ikhwan dibebaskan daripada pertuduhan tersebut.
Menurut pendakwaan, pasangan tersebut telah mengabaikan Zayn Rayyan dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal ke atas mangsa.
Kesalahan dibuat oleh suspek di kawasan berhampiran Blok R, Pangsapuri Idaman, Damansara Damai, serta di kawasan berhampiran sungai pada 5 Disember 2023, kira kira 9.55 malam pada keesokan harinya.
Pasangan tersebut dituduh di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001, dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Pasangan suami isteri itu berdepan dengan hukuman penjara maksimum 20 tahun, denda RM50,000, atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan.