Kempen Liga Hoki Malaysia (MHL) 2024 sudah menghampiri ke penghujung apabila dua pasukan gergasi, Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Terengganu Hockey Team (THT) akan beraksi di pentas final Piala TNB, malam esok.
Ia merupakan piala terakhir bakal direbut selepas TNB sudah mengesahkan kejuaraan liga dan Piala Sumbangsih bagi kategori lelaki manakala saingan wanita pula diungguli pasukan Malaysia University.
Baca Juga:
- MHL 2024: Skuad Hoki TNB Semakin Hampiri Kejuaraan
- MHL 2024: TNB Julang Piala Sumbangsih, Atasi THT Menerusi Penalti ‘Shoot-Out’
- MHL 2024: Bisa Ledakan Jang Jong-Hyun Ditagih TNB
Selain daripada aksi menarik ditampilkan setiap pasukan bertanding, kelibat pemain-pemain berpengalaman turut mencuri tumpuan.
Selain daripada pengalaman luas dimiliki, barisan pemain-pemain ‘otai’ masih mampu beraksi dengan baik meskipun terpaksa berhadapan dengan tenaga yang lebih muda.
Berikut merupakan lima pemain ‘otai’ yang beraksi dalam MHL 2024:
1) Keevan Raj A/L Kali Kavandan (JM Antsbees)

Bekas pemain hoki negara yang beraksi di Sukan Olimpik 2000 (Sydney) itu bakal menjengah usia 45 tahun pada 14 Oktober nanti.
Musim ini, beliau telah beraksi pada empat perlawanan dalam membantu pasukan JM Antsbees.
2) Jiwa Mohan (JM Antsbees)

Jiwa Mohan yang turut beraksi bersama Keevan di Sydney merupakan pemilik kelab ini.
Pada usia bakal mencecah 43 tahun pada April ini, beliau masih mampu beraksi dalam kesemua 10 perlawanan liga dan berjaya menjaringkan satu gol padang ketika menentang ATM.
3) Razalee Yahya (JM Antsbees)

Razalee yang beraksi di posisi pertahanan turut berusia 43 tahun telah membuat lapan penampilan bersama JM Atsbees serta mencetak satu jaringan padang ketika bertemu Young Elephants-Pahang.
4) Jang Jong-hyun (TNB)

Meskipun sudah berusia 40 tahun, Jang memang berada di kelas beliau yang tersendiri apabila beraksi dalam kesemua 14 perlawanan dilalui TNB.
Kental ketika bertahan, pemain import dari Korea Selatan itu juga cukup ampuh ketika pukulan sudut penalti hasil 20 jaringan diledakkannya manakala lima gol lagi menerusi penalti strok.
5) Ismail Abu (THT)

Bekas penyerang skuad hoki negara ini jelas masih mempunyai sentuhan berbisa pada usia 40 tahun.
Beraksi pada 11 daripada 14 aksi bersama THT musim ini, beliau berupaya menghasilkan lima jaringan padang dimana.
Gol yang diledakkannya ketika bertemu Maybank pada aksi separuh akhir kedua Piala TNB petang semalam jelas membuktikan teknik penyudah berkelas dunia masih dimiliki beliau.