Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) telah mengambil langkah drastik dalam membatalkan tiga kejohanan iaitu Piala Futsal Malaysia, Kejohanan Futsal Bawah 19 Tahun dan Kejohanan Bolasepak Pantai Kebangsaan 2026.
Menurut kenyataan media yang dikeluarkan FAM seperti dimuat naik oleh sumber Flash Sukan, alasan badan induk tersebut terpaksa membatalkan tiga kejohanan tersebut adalah berikutan faktor penyelarasan semula kalendar pertandingan, komitmen pasukan yang bertanding serta isu logistik dan infrastruktur.
Alasan FAM
“FAM ingin menegaskan bahawa keputusan ini bukanlah satu langkah ke belakang terhadap pembangunan futsal dan bola sepak pantai negara.”
“Sebaliknya, ia merupakan pendekatan strategik bagi memastikan perancangan yang lebih tersusun, mampan dan berimpak tinggi dapat dilaksanakan pada masa hadapan.”
“FAM sedang menilai semula struktur pertandingan bagi sukan futsal dan bola sepak pantai supaya ia selari dengan hala tuju pembangunan jangka panjang serta standard pertandingan yang lebih kompetitif.”
“FAM juga akan memperincikan pelan penstrukturan semula pertandingan futsal dan bola sepak pantai setelah perbincangan bersama pihak berkepentingan dimuktamadkan.”
Pembatalan ini pastinya menimbulkan persoalan dalam kalangan komuniti futsal dan bola sepak pantai tempatan.

Piala Futsal Malaysia sebelum ini menjadi antara platform penting buat pasukan-pasukan untuk menambah lebih banyak minit permainan selepas berakhirnya saingan Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL).
Ia juga menampilkan pasukan-pasukan terbaik dengan menampilkan enam pasukan tangga teratas bagi saingan MPFL Divisyen 1 dan dua lagi pasukan teratas dalam Divisyen 2.
Lebih membimbangkan, Kejohanan Futsal Bawah 19 Tahun yang pertama kali diadakan pada tahun lalu terpaksa dihentikan untuk 2026.
Kejohanan ini sepatutnya berperanan sebagai jambatan pembangunan bakat muda sebelum mereka melangkah ke pentas lebih tinggi.
Tanpa kejohanan ini, ruang kompetitif untuk pemain remaja semakin mengecil.

Penganjuran pertandingan seperti ini penting kerana Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) juga sudah mula memperkenalkan Kejohanan Futsal Bawah 16 dan 19 Tahun ASEAN sejak tahun lalu.
Dalam masa yang sama, pembatalan Kejohanan Bolasepak Pantai Kebangsaan pula memberi gambaran bahawa cabang sukan tersebut masih bergelut mencari kestabilan dalam ekosistem bola sepak negara.
Sudahlah kejohanan bola sepak pantai sering kali dipandang sepi, usaha untuk menganjurkan kejohanan khas untuk sukan tersebut pula terpaksa dibatalkan.
Langkah penstrukturan semula mungkin mempunyai rasional tersendiri di pihak FAM.
Namun persoalan yang timbul adalah sejauh mana perancangan jangka panjang telah dirangka untuk memastikan pembangunan tidak terus terjejas setiap kali berdepan isu logistik dan kalendar.