Pemain jentera serangan, Marcus Rashford berjaya keluar daripada ‘kesengsaraan’ di Manchester United apabila melengkapkan perpindahan secara pinjaman ke Aston Villa.
Pinjaman sehingga berakhirnya musim 2024/25 dan Aston Villa mempunyai pilihan untuk merekrut pemain tersebut secara tetap pada jendela perpindahan musim panas dengan nilai £40 juta.
Baca Juga:
- 5 Sebab Amorim Sisihkan Rashford
- Marcus Rashford Sedia Tinggalkan Manchester United
- Lapan Pemain Manchester United Yang Perlu Disingkirkan Menurut Paul Scholes
Kehadiran Ruben Amorim yang menggantikan Erik ten Hag pada 11 November 2024 jelas menjadi mimpi ngeri buat Rashford dimana beliau tidak diberikan banyak peluang untuk beraksi.
Beliau menjaringkan tiga gol pada dua aksi awal dibawah kendalian Amorim tetapi selepas itu tampak sukar hingga menyebabkan Rashford terpaksa meninggalkan Old Trafford.
Walaupun mendapat tawaran daripada Barcelona dan AC Milan, Marcus Rashford jelas lebih berminat untuk menyertai Aston Villa.
Beberapa kriteria menjadi sebab Rashford memilih untuk ke pasukan tangga kelapan saingan English Premier League tersebut.
“Ia (merujuk kepada Aston Villa) adalah sebuah kelab yang berada dalam kedudukan yang baik dalam liga, dan mereka sedang berusaha untuk naik lebih tinggi.”
“Mereka masih dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah, memiliki pengurus yang bagus dan bercita-cita tinggi serta bakat hebat dalam skuad,” ujar Rashford menurut sumber laporan Goal.
“Saya terpaksa memilih tempat di mana saya rasa gaya permainan saya sesuai dan boleh membantu mereka serta membantu saya menemui semula dan memperbaiki diri sebagai pemain.”
“Sudah tentu, saya hanya berada di sini untuk jangka pendek, jadi saya ingin memanfaatkan masa saya di sini sebaik mungkin.”
“Dan satu-satunya cara untuk melakukannya adalah dengan menggunakan kemampuan dan kemahiran saya untuk membantu pasukan,” tambah pemain berusia 27 tahun itu lagi.
Marcus Rashford berkemungkinan akan membuat penampilan sulungnya bersama Aston Villa pada aksi pusingan keempat Piala FA bertemu Tottenham Hotspur pada Sabtu ini.