Roberto De Zerbi mengambil langkah drastik untuk menyatukan skuad Tottenham Hotspur yang sedang bergelut apabila menguatkuasakan larangan penggunaan telefon bimbit sepanjang waktu makan bersama pasukan.

Pengendali dari Itali itu berusaha keras untuk mengintegrasikan beberapa pemain baharu selepas permulaan kempen yang mengecewakan dalam English Premier League (EPL) 2026/27

Tottenham kini menghuni tangga tercorot liga tanpa sebarang kemenangan dalam enam perlawanan, meskipun telah membelanjakan $505 juta untuk mendapatkan 10 pemain baharu pada jendela perpindahan musim panas lalu.

De Zerbi
Kredit Foto: Ben STANSALL / AFP

De Zerbi Tak Berputus Asa

Bagi memupuk kesepaduan dalam skuad yang mengalami banyak perubahan, De Zerbi menguatkuasakan larangan ketat penggunaan telefon bimbit sepanjang semua sesi makan bersama pasukan.

Beliau berharap langkah memaksa pemain berinteraksi di luar padang dapat mempercepatkan proses penyesuaian dalam pasukan, sekali gus menyelamatkan kempen domestik mereka.

Selain itu, De Zerbi baru-baru ini telah membawa skuadnya ke Marbella, Sepanyol untuk menjalani kem latihan dalam cuaca panas bagi mencari jalan menghentikan kemerosotan prestasi membimbangkan mereka dalam kempen EPL.

“Kami menjalani latihan di padang dan meluangkan masa bersama. Kami mengetepikan telefon bimbit ketika sarapan, makan tengah hari dan makan malam supaya dapat meluangkan masa bersama kerana sekarang ini, telefon digunakan sepanjang masa,” ujar De Zerbi menurut sumber laporan Goal.

“Kami mengadakan dua atau tiga mesyuarat penting untuk membincangkan bola sepak, situasi semasa pasukan dan tanggungjawab yang perlu dipikul oleh setiap individu.”

“Selain itu, tiada apa-apa lagi. Ada sesi makan malam yang hanya melibatkan pemain, manakala beberapa sesi lain dikhaskan untuk barisan kejurulatihan.”

“Sebagai jurulatih, anda sedar bahawa anda perlu memperbaiki keadaan, mengubah situasi dan berusaha mencari segala penyelesaian yang ada.”

'Karam Di Saingan EPL', Ini Usaha De Zerbi Untuk Ubah Nasib Tottenham Hotspur
Kredit Foto: Paul ELLIS / AFP

“Saya sudah dua kali mengadakan kem latihan seperti ini ketika bersama Marseille dan ia memberikan hasil yang baik. Saya berbincang dengan pihak kelab, Vinai Venkatesham, Johan Lange dan pemilik kelab sebelum kami membuat keputusan bersama. Namun, perkara ini bukan sesuatu yang luar biasa.”

“Kami cuma mahu meluangkan lebih banyak masa bersama kerana kami tidak berpeluang berbuat demikian ketika pramusim.”

“Kami mempunyai ramai pemain baharu dan pemain yang baru pulang daripada Piala Dunia. Meluangkan masa selama tiga atau empat hari bersama tanpa keluarga, selain meletakkan kepentingan kelab sebagai keutamaan, adalah perkara biasa dan baik untuk pasukan.”

Sumber