Umum mengetahui penyerang skuad B-23 Tahun negara, Luqman Hakim beraksi dalam saingan liga divisyen tiga Jepun bersama Yokohama YSCC musim ini.

Sebanyak 31 perlawanan telah dihadapi oleh Yokohama setakat ini dan Luqman diturunkan dalam beberapa perlawanan baik dalam kesebelasan utama atau sebagai pemain gantian.

Baca Juga:

Menurut perkongsian Ahmad Ridzuan yang sentiasa berkongsi mengenai perkembangan bola sepak Jepun, beliau menulis jumlah minit permainan yang dikumpul oleh Luqman di laman X miliknya baru-baru ini.

Setakat ini Luqman Hakim hanya tampil sebanyak 7 kali dalam 31 perlawanan liga yang dihadapi oleh Yokohama bagi musim 2024.

“Dari 7 penampilan itu, hanya sekali tersenarai dalam kesebelasan utama (perlawanan ke-3) yang juga penampilan sulung beliau bertemu Matsumoto Yamaga. Manakala baki 6 penampilan lain adalah selaku pemain simpanan.

“Selain itu, beliau juga 3 kali tersenarai sebagai pemain gantian yang tidak digunakan. Keseluruhannya, Luqman mengumpul 110 minit masa permainan selepas 31 perlawanan J3 League 2024.

Catatan ini dilihat kurang memberangsangkan yang mana pemain berusia 22 tahun itu tidak mencatat minit permainan yang dianggap cukup.

Meskipun begitu, Luqman masih mempunyai peluang untuk menambah catatan minit bermain dimana saingan J League 3 masih berbaki 7 minggu perlawanan.

Yokohama ketika ini menduduki tangga ke-18 dalam carta liga dimana mereka berada satu tangga dari play-off penyingkiran ke divisyen empat.

Kelab itu perlu mencatat kemenangan bagi memperbaiki kedudukan dalam carta liga sekaligus menjarakkan diri dengan zon penyingkiran.