Chelsea kini sudah terkeluar daripada perebutan untuk menamatkan saingan dalam kelompok lima teratas English Premier League (EPL) 2025/26.
Namun laluan sempit dan sukar ke UEFA Champions League (UCL) musim hadapan nampaknya masih ada sekelumit peluang.
The Blues perlu naik ke tangga keenam dalam saingan EPL dan berharap agar Aston Villa dapat memberikan bantuan penting di pentas Eropah.
Chelsea terus mengalami kekalahan selepas tumbang 1-3 di laman sendiri kepada Nottingham Forest sekali gus meletakkan mereka di tangga kesembilan.
Kedudukan terkini yang membuatkan peluang untuk beraksi dalam UCL musim hadapan semakin menjauh.
Masih Ada Peluang Buat Chelsea
Bagaimanapun, di bawah sistem European Performance Spots oleh UEFA, liga yang mencatat prestasi kolektif terbaik boleh menerima satu slot tambahan ke UEFA Champions League.
Ini bermakna pasukan di tangga keenam EPL berpotensi layak sekiranya juara UEFA Europa League turut menamatkan saingan dalam kelompok lima teratas liga tersebut.
Harapan Chelsea kini banyak bergantung kepada Unai Emery dan Aston Villa. Kelab dari Midlands itu masih memburu kejuaraan UEFA Europa League sambil berada selesa dalam kelompok lima teratas EPL.
Jika Villa menjuarai pertandingan tersebut dan pada masa sama menamatkan musim dalam kelompok lima teratas liga, slot UEFA Champions League yang mereka peroleh menerusi Liga Europa akan membuka ruang tambahan melalui sistem European Performance Spot kepada pasukan lain dalam liga. Ini akan membolehkan pasukan di tangga keenam layak ke UCL.
Namun, Villa masih perlu bekerja keras untuk mara ke final. Mereka terlebih dahulu perlu memadam defisit agregat 0-1 menentang Nottingham Forest dalam aksi separuh akhir kedua sebelum berpotensi bertemu sama ada SC Freiburg atau SC Braga di pentas final.
Dan Chelsea juga perlulah memperbaiki prestasi sekiranya mahu menamatkan saingan liga di kedudukan lebih baik. Baki tiga aksi terakhir skuad kendalian Calum McFarlane itu adalah bertemu Liverpool, Tottenham Hotspur dan Sunderlan. Bukan lawan mudah!