Kegagalan skuad Malaysia melepasi peringkat kumpulan dalam Kejuaraan Futsal ASEAN 2024 di Nakhon Ratchasima sudah pastinya mendapat kritikan ramai kerana gagal menghadirkan kejayaan diharapkan.

Bermula dengan baik membelasah Brunei 11-0, skuad kendalian Rakphol Sainetngam kemudiannya tewas 0-2 di tangan Vietnam dan kekalahan 1-3 kepada Thailand yang sekali gus menutup terus peluang untuk mara meskipun meraih kemenangan 2-0 pada aksi terakhir menentang Timor-Leste.

Baca Juga:

Ia merupakan kali ketiga berturut-turut skuad negara gagal melepasi peringkat kumpulan saingan yang sudah memasuki edisi ke-18 itu.

Walaupun persembahan ditampilkan para pemain negara menarik untuk disaksikan dengan corak permainan cukup pantas diterapkan tetapi kegagalan tersebut memberikan isyarat jelas bahawa banyak perkara perlu diperbaiki.

Dalam usaha untuk meningkatkan kualiti futsal tanah air, banyak ‘kerja rumah’ perlu dilakukan semua pihak dalam usaha memastikan Malaysia tidak semakin ketinggalan jauh di belakang Thailand, Indonesia dan Vietnam.

Antara perkara perlu dititikberatkan semua pihak ialah:

1) Penambahbaikan dalam penjadualan MPFL

Penjadualan Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL) perlu diatur dengan lebih baik untuk memberikan ruang secukupnya buat skuad kebangsaan daripada segi persiapan dan rehat pemain.

Bukan mahu menyalahkan mana-mana pihak terutamanya Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dalam isu ini tetapi sekiranya melihat daripada sudut sains sukan, apa yang dilalui pemain negara cukup memenatkan.

Dapat dilihat daripada 14 pemain terpilih, kesemuanya pemain yang terpaksa beraksi hingga aksi terakhir saingan Piala Futsal Malaysia (final dan tempat ke-3/4) pada 6 Oktober lalu.

Tambahan pula ketika di Nakhon Ratchasima, mereka terpaksa beraksi empat perlawanan berturut-turut dimana perlu menghadapi Vietnam dan Thailand hanya selang sehari.

Ini Lima Langkah Utama Untuk Meningkatkan Prestasi Futsal Malaysia Di Peringkat Antarabangsa
Harith Na’im. Kredit Foto: FAM

Manakala, semua pasukan yang beraksi menentang Malaysia pula akan mendapat cuti sehari sebelum bertemu skuad negara.

Daripada segi sains sukan sebaik sahaja tamat aksi di Bukit Jalil tersebut, intensiti perlu dikurangkan hingga ke 30 peratus sekitar tempoh dua minggu untuk proses pemulihan (recovery).

Namun, itu tidak dilalui oleh skuad negara kerana Rakphol perlu meningkatkan intensiti latihan kerana kesuntukan masa, malah hanya selepas beberapa hari memasuki kem latihan, mereka sudah terbang ke Yogyakarta pula untuk berhadapan skuad Indonesia.

Contoh terbaik buat Indonesia yang tamat saingan liga pada Ogos dan persiapan mereka cukup baik hingga merintis kepada kejayaan muncul juara Futsal ASEAN 2024.

2) Penubuhan pasukan bawah 19 tahun

Projek penubuhan pasukan bawah 19 tahun dilihat mampu menjadi antara usaha jangka masa pendek dalam mematangkan lagi para pemain untuk menghadapi saingan intensiti tinggi.

Dapat dilihat dalam senarai pemain skuad negara, hanya Syahir Iqbal Khan Akbar Khan berusia 19 tahun dan sembilan pemain sudah melebihi usia 26 tahun.

Mungkin panel khas ditubuhkan Jawatankuasa Futsal FAM dapat menilai barisan pemain muda berkualiti untuk menghantar pasukan beraksi dalam saingan MPFL.

Mentaliti ‘fighter’ dan kudrat pemain muda mampu untuk diterjemahkan dengan baik sekiranya mereka mendapat bimbingan serta platform terbaik membuktikan kemampuan di pentas tertinggi.

Ini Lima Langkah Utama Untuk Meningkatkan Prestasi Futsal Malaysia Di Peringkat Antarabangsa
Syahir Iqbal. Kredit Foto: FAM

Tidak mustahil dengan kaedah begini, dapat mewujudkan lebih banyak pilihan pemain untuk diserapkan ke skuad senior negara.

Tambahan pula Kejuaraan Futsal ASEAN Bawah 19 tahun (B19) difahamkan akan berlangsung pada tahun hadapan.

Namun, perkara ini perlu disertakan dengan sesi latihan sistematik, penerapan elemen sains sukan serta mendapat sokongan kuat pihak berkaitan.

Sekiranya tidak dilakukan segera, kita berkemungkinan besar perlu terus bergantung harap kepada pemain-pemain sedia ada dalam tempoh 3 hingga empat tahun lagi.

3) Pemain berkualiti beraksi di luar negara

Tidak mahu merendah-rendahkan saingan liga tempatan tetapi Malaysia mempunyai bakat-bakat berkualiti yang mampu beraksi di luar negara.

Syahir Iqbal, Faris Johan, Awalluddin Mat Nawi, Harith Na’im dan Ekmal Shahrin merupakan antara sebahagian nama yang mempunyai potensi besar sekiranya berpeluang untuk berkelana ke Thailand atau Indonesia.

Hijrah ke luar negara yang secara tidak langsung dapat meningkatkan kualiti serta mematangkan lagi para pemain untuk menghadapi perlawanan berintensiti tinggi.

Pemain-pemain yang dinyatakan tadi juga mempunyai semangat berjiwa besar ketika beraksi di pentas antarabangsa serta pemahaman kepada taktikal futsal moden dan beberapa elemen tambahan dalam menangani intensiti tinggi sesebuah perlawanan.

Mungkin peluang untuk beraksi di kelab besar agak tipis tetapi beraksi di pasukan tangga pertengahan liga juga mampu untuk memberikan pendedahan berguna kepada pemain.

Futsal Malaysia
Faris Johan. Kredit Foto: FAM

Ia bagaimanapun sekadar cadangan dan terpulang kepada pemain serta kelab masing-masing untuk membuat keputusan.

Di Thailand, Indonesia dan Vietnam sudah dapat dibuktikan apabila Muhammad Osamanmusa kini sudah musim ketiga berada di Liga Futsal Sepanyol.

Manakala, Evan Soumilena pernah beraksi di Liga Portugal dan kemudiannya dipinjamkan seketika ke kelab Liga Australia bersama Wendy Brian Ick.

Sementara itu, Pham Duc Hoa yang merupakan kapten Vietnam pula turut pernah berkelana ke Liga Futsal Sepanyol.

4) Suntikan dana lebih baik buat skuad futsal

Kita sedar di mana-mana negara walaupun Iran, Jepun, Thailand, Indonesia dan Vietnam tidak akan menerima bajet besar seperti bola sepak.

Itu merupakan hakikat yang perlu ditelan mana-mana pasukan futsal di seluruh dunia. Meskipun begitu, janganlah terlalu meminggirkan sukan lima sebelah ini.

Suntikan dana yang lebih baik akan memberikan ruang buat pihak terlibat dengan pembangunan futsal tanah air untuk merangka lebih banyak aktiviti yang boleh meningkatkan prestasi pasukan.

Ini Lima Langkah Utama Untuk Meningkatkan Prestasi Futsal Malaysia Di Peringkat Antarabangsa
Kredit Foto: FAM

Ia seperti mengadakan siri perlawanan persahabatan luar negara (tidak hanya bertumpukan kepada Thailand semata-mata) atau meningkatkan lagi prestij saingan MPFL serta perkembangan akar umbi.

Malaysia sudah memiliki Rakphol, seorang jurulatih yang berpengalaman membimbing Thailand di pentas Piala Dunia Futsal, tetapi beliau perlu mendapat sokongan penuh terutamanya daripada segi dana untuk membangunkan kepakarannya.

5) Futsal yang lebih ‘proper’ di bangku persekolahan

Untuk pembangunan akar umbi, futsal perlu bermula di peringkat sekolah rendah. Sama seperti sukan-sukan lain dalam kejohanan Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM).

Perkenalkan peraturan, tempoh masa permainan serta ilmu futsal kepada murid-murid di sekolah dengan betul sejak dari mula.

Hal ini kerana banyak kejohanan futsal di Malaysia tidak mengira untuk pemain kanak-kanak atau dewasa sekalipun hanya dimainkan di gelanggang kecil dan 5-1-5 minit sahaja.

Sedangkan di tiga negara jiran yang sering disebut-sebut itu sudah biasa dengan pertandingan melibatkan peraturan, tempoh masa dan gelanggang besar walaupun hanya berstatus ‘liga haram’.

Kesimpulan

Memang kata-kata dan cadangan begitu mudah dilontarkan berbanding untuk merealisasikan semua perkara ini.

Tetapi sedarlah ia merupakan langkah yang perlu dititikberatkan sekiranya kita mahu melihat futsal berkembang lebih pesat dari semasa ke semasa.

Semua elemen yang dinyatakan perlu seiring dan mendapat sokongan padu pihak bertanggungjawab.