Chelsea memang cukup dikenali dengan polisi berbelanja besar setiap kali jendela perpindahan dibuka dalam usaha memantapkan pasukan.
Sejak berada di bawah ‘pemerintahan’ Roman Abramovich dan beralih kepada BlueCo yang diketuai Todd Boehly, Chelsea sentiasa bernafsu untuk berbelanja besar.
Namun di sebalik perkara tersebut, The Blues juga dilihat cukup bijak dalam menjana semula pendapatan menerusi hasil penjualan pemain.

Wang Besar Buat Chelsea
Dengan jendela perpindahan semakin hampir untuk ditutup pada 1 September nanti, Chelsea semakin giat untuk melepaskan pemain-pemain yang tidak diperlukan oleh pengendali, Xabi Alonso.
Selepas melihat pemergian Marc Cucurella, Trevoh Chalobah dan Andrey Santos, tiga lagi pemain semakin hampir untuk meninggalkan Stamford Bridge. Pemain yang dimaksudkan ialah Nicolas Jackson, Liam Delap dan Enzo Fernandez.
Aston Villa dilaporkan sudah mencapai persetujuan untuk membelanjakan £65 juta bagi menyatukan semula Unai Emery dengan Jackson.
Jackson sebelum ini pernah bekerja di bawah kendalian Emery ketika kedua-duanya berada di Villarreal, sekali gus menjadikan perpindahan itu sebagai satu pertemuan semula buat kedua-duanya.
Perkembangan itu hadir selepas Aston Villa mencapai persetujuan dengan Al Hilal bagi perpindahan penyerang England, Ollie Watkins.
Ia cukup menguntungkan buat Chelsea kerana mereka sebelum ini mendapatkan khidmat Jackson dari Villarreal pada tahun 2023 dengan nilai £32 juta.
Kemudian, Nottingham Forest pula dilaporkan telah mencapai persetujuan untuk mendapatkan Liam Delap dengan pengurus mereka, Oliver Glasner, turut mengesahkan perkembangan tersebut.
Forest dipercayai akan membayar £45 juta secara pendahuluan, selain £5 juta lagi dalam bentuk bayaran tambahan (add-ons), menjadikan nilai keseluruhan perpindahan itu berpotensi mencecah £50 juta.
Ketika perpindahan Delap dan Jackson dilihat semakin hampir untuk dimuktamadkan, Manchester City pula sedang membuat persiapan untuk mengemukakan tawaran bagi mendapatkan Enzo Fernandez.
Pemain tengah tersebut dikatakan cukup berminat untuk menyertai Manchester City kerana beliau pernah bekerja di bawah kendalian Enzo Maresca ketika pengendali itu membimbing Chelsea.
Chelsea sebelum ini dilaporkan telah menetapkan tarikh akhir kepada City pada awal bulan ini untuk mengemukakan tawaran bernilai £120 juta bagi pemain tengah Argentina tersebut.
Namun, City gagal mengemukakan tawaran sebelum tarikh akhir berkenaan. Mereka masih berminat untuk mendapatkan Fernandez dan kini sedang mempertimbangkan langkah seterusnya menjelang penutupan jendela perpindahan.
Sekiranya penjualan Enzo Fernandez turut berjaya dilaksanakan, Chelsea berpotensi menerima £235 juta hanya daripada penjualan tiga pemain tersebut.
Jumlah tersebut bagaimanapun tidak termasuk hasil penjualan Marc Cucurella, Andrey Santos, Tyrique George, Jimy Jay Morgan, Trevoh Chalobah dan Omari Kellyman yang sebelum ini turut meninggalkan Stamford Bridge.
Cucurella dilaporkan memberikan Chelsea £51.8 juta, manakala Manchester United membayar £50 juta untuk mendapatkan Santos. Everton pula bersetuju membayar £24 juta bagi George, sementara Chelsea menerima £4 juta hasil penjualan Jimy Jay Morgan dan £30 juta daripada perpindahan Chalobah.

Selain itu, Chelsea turut memperoleh £5 juta menerusi penjualan Kellyman, menjadikan jumlah pendapatan daripada keenam-enam pemain tersebut sekitar £164.8 juta.
Ini bermakna, jika kesemua urusan berkenaan direalisasikan, Chelsea berpotensi meraih hampir £400 juta hasil penjualan pemain dalam jendela perpindahan kali ini, sekali gus memperlihatkan kemampuan kelab itu menjana semula dana selepas berbelanja besar untuk memperkuatkan skuad.
Angka tersebut sekali gus menunjukkan bagaimana juara Piala Dunia Kelab FIFA ini berupaya menjana semula sebahagian besar perbelanjaan mereka melalui aktiviti penjualan pemain, selain memberi ruang kepada kelab untuk mengimbangi semula kewangan selepas beberapa musim berbelanja besar.