Aston Villa yang dibimbing Unai Emery menamatkan penantian 41 tahun untuk bersaing dalam saingan paling berprestij iaitu Liga Juara-Juara Eropah (UCL).
Dengan fakta lebih mendalam, ia merupakan kali pertama Aston Villa mara ke kempen tersebut kerana sebelum ini kejohanan itu dikenali sebagai Piala Eropah sebelum proses penjenamaan semula kepada UCL pada musim 1992/93.
Baca Juga:
- Kejutan Di EPL, Aston Villa Kejar Rapat Untuk Tempat Ke UCL
- Ian Wright: Aston Villa Pasukan Yang Perlu Diberikan Perhatian
- Ini Sebab Martinez Tak Diperintah Keluar Padang Walaupun Dapat Dua Kad Kuning
Hal ini kerana kali terakhir Villa beraksi di pentas tertinggi bola sepak Eropah adalah pada 1982-83 dimana mereka muncul juara pada edisi sebelumnya.
Tidak mengapa jangan pening kepala mengenai perkara tersebut kerana apa yang menjadi tumpuan kali ini adalah untuk menyentuh kewibawaan Emery dalam merintis kejayaan manis buat Aston Villa.
Kehadiran Emery mengubah segalanya
Ketika diumumkan sebagai pengganti kepada Steven Gerrard, Emery berdepan tugas sukar kerana Aston Villa pada ketika itu hanya berada di kelompok bawahan hasil tiga kemenangan, tiga keputusan seri dan enam kekalahan dialami pada 12 perlawanan awal.
Mula bersama pasukan pada 1 November 2022, beliau memberikan impak pantas dengan kemenangan aksi sulung bertemu Manchester United 3-1 di laman sendiri.
Dengan perubahan yang dilakukan, pengendali kelahiran Sepanyol itu tidak menoleh ke belakang untuk mengubah nasib pasukan hingga berjaya menamatkan musim 2022/23 di kedudukan ketujuh.
Kedudukan yang membolehkan Aston Villa beraksi dalam saingan Europa Conference League.
Daripada sebuah pasukan yang kelihatan cukup bergelut pada peringkat awal, Emery melakukan transformasi hingga mampu menundukkan kelab-kelab besar seperti Manchester United, Tottenham Hotspur dan Chelsea.
Kempen 2023/24 pula beliau telah membuktikan kemampuan hebatnya dalam membawa Aston Villa menamatkan liga di kedudukan keempat sekali gus akan beraksi dalam saingan UCL musim hadapan.

Ini pendekatan baharu diambil Unai Emery
Emery amat dikenali sebagai seorang pengurus yang cukup teratur dan terperinci dalam setiap aspek. Sesi mesyuarat dan analisis pasukan yang panjang telah menjadi sebahagian daripada kewajipan di Pusat Latihan Bodymoor Heath.
Beliau juga merupakan seorang pengkaji yang tekun bagi pasukan lain, yang terkenal dalam meneliti berpuluh-puluh jam analisis untuk walaupun mencari kelemahan yang kecil dan sedikit (small details).
Beliau juga dikatakan akan menghabiskan banyak masa dalam menyunting sendiri video perlawanan untuk dikongsikan kepada para pemain sebagai analisis bagi melihat perkara yang perlu diperbaiki pada perlawanan seterusnya.
Selain itu, beliau turut telah mengubah rutin pasukan bagi menghadapi perlawanan di tempat sendiri. Aston Villa kini menginap di sebuah hotel pada malam sebelum perlawanan dan akan mengadakan pertemuan pra-perlawanan lanjutan di sana.
Perkara itu difikirkan oleh Emery dapat meningkatkan lagi ikatan kekeluargaan dan kejelikitan bagi setiap pemainnya yang pasti akan mempengaruhi aksi mereka dalam padang.
Unai Emery: "It's a very special day.
"It's our dream, we started the season to be here." pic.twitter.com/2oy1m9kCCU
— Aston Villa (@AVFCOfficial) May 14, 2024
Emery turut akan menghabiskan masa lima hingga enam jam sehari bersama jurulatih ‘set-piece’, Austin Macphee untuk merangka perancangan terbaik buat pemainnya ketika situasi tersebut.
Ketika bersama jurulatih prestasi individu (Antonio Saravia), beliau akan meminta Saravia untuk meluangkan masa bersama penyerang, Ollie Watkins bagi meneliti klip video gaya permainan Edinson Cavani, Pierre-Emerick Aubameyang dan Carlos Bacca dimana kesemua pemain tersebut cemerlang ketika dibawah kendalian Emery.
Emery mahu Watkins kekal dalam kawasan 18 ela dengan naluri ‘pembunuh’ dan tidak membuang tenaga dengan berada di keseluruhan padang.
Selain usaha keras Watkins, inisiatif diambil Emery secara tidak langsung membantu penyerang tersebut semakin menunjukkan peningkatan dengan 27 gol dan 13 bantuan jaringan dicatatkan dalam semua pertandingan musim ini.
Begitu juga situasi bersama Emiliano Martinez yang bergelut ketika bersama Gerrard, Emery telah meminta jurulatih penjaga gol, Javi Garcia untuk menyesuaikan pendekatan agar sesuai dengan gayanya supaya dapat membina serangan dari pertahanan.
Jelas sekali tindakan pengurusan tertinggi Aston Villa dalam membawa masuk pengurus berkelas dunia seperti Emery semakin menampakkan hasil lumayan buat pasukan.