Manchester United telah melaksanakan perubahan besar dalam rundingan kontrak pemain sebagai usaha membaiki model kewangan yang bermasalah sejak sedekad lalu.

Menurut sumber laporan Goal, The Red Devils kini memperkenalkan klausa berkaitan prestasi yang menghalang pemain daripada menerima kenaikan gaji besar hanya kerana berada dalam pasukan ketika musim yang berjaya.

Manchester United telah menghabiskan sebahagian besar sedekad lalu bergelut untuk melepaskan pemain yang gagal menyerlah atau sekadar menjadi pelengkap skuad kerana klausa kontrak yang menyebabkan gaji mereka melonjak setiap kali kelab layak ke Liga Juara-Juara Eropah (UCL).

Perubahan Polisi Gaji Pemain Manchester United

Sebelum ini, pihak pengurusan Old Trafford mengamalkan dasar menaikkan gaji sebanyak 25 peratus kepada keseluruhan skuad setiap kali pasukan berjaya mengesahkan tempat dalam saingan elit Eropah itu.

Sehubungan dengan itu bagi mengelak perkara sama berulang lagi, INEOS memperkenalkan struktur kontrak baharu pada penghujung 2023 bagi semua pemain yang ditandatangani serta pembaharuan kontrak sebagai usaha mengawal semula beban gaji Manchester United.

Menerusi dasar baharu itu, kenaikan gaji sebanyak 25 peratus selepas kelayakan ke UCL tidak lagi diberikan secara automatik kepada semua pemain. Sebaliknya, pemain kini perlu beraksi sekurang-kurangnya 60 peratus daripada jumlah minit perlawanan kompetitif sepanjang musim untuk melayakkan diri menerima kenaikan tersebut.

Perubahan itu memastikan hanya pemain yang benar-benar memberikan sumbangan besar di atas padang akan menikmati ganjaran kewangan hasil kejayaan kelab.

Keperluan untuk melaksanakan perubahan ini jelas dapat dilihat menerusi situasi yang melibatkan Marcus Rashford. Penyerang England itu masih merupakan antara pemain bergaji tertinggi Manchester United dan dilaporkan pernah menolak beberapa tawaran perpindahan kerana enggan menerima pemotongan gaji di kelab baharu.

Lebih penting, kontrak lima tahun Rashford dimeterai pada Julai 2023, iaitu sebelum Manchester United memperkenalkan struktur gaji baharu tersebut.

Walaupun dipinjamkan ke Barcelona musim lalu dan tidak menyumbang kepada kejayaan United melayakkan diri ke UCL, Rashford masih bakal menerima bonus berjumlah £4 juta pada musim panas ini menerusi klausa yang terkandung dalam kontraknya.

Situasi itu menjadi contoh jelas mengapa syarat baharu yang menetapkan pemain perlu beraksi sekurang-kurangnya 60 peratus daripada jumlah minit perlawanan kompetitif diperkenalkan.

Ia bagi memastikan hanya pemain yang benar-benar menyumbang kepada kejayaan pasukan menerima ganjaran tersebut.

Sumber