Maghribi melangkah ke pusingan 16 Piala Dunia 2026 selepas menundukkan Belanda 3-2 selepas aksi 120 minit berlangsung terikat 1-1 di Estadio Monterrey, Mexico sebentar tadi.

Lebih menarik untuk diperkatakan, Maghribi menguasai sebanyak 70 peratus perlawanan ketika bertemu dengan lawan yang dikenali dengan pendekatan ‘Total Football’ itu.

Namun di sebalik kemaraan itu, terdapat satu kisah yang lebih besar. Perkembangan Maghribi bukan berlaku secara kebetulan, sebaliknya hasil perancangan jangka panjang yang telah membentuk semula struktur bola sepak negara itu sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Maghribi merupakan juara AFCON 2025 walaupun Senegal telah dilucutkan gelaran tersebut.

Mereka juga merupakan juara Piala Arab 2025, juara Kejohanan Negara-Negara Afrika (CHAN) 2025, juara Piala Dunia B-20 2025, juara AFCON B-17 2025 dan pemenang pingat gangsa bola sepak Sukan Olimpik 2024

Manakala skuad wanita pula adalah naib juara Piala Negara-Negara Afrika Wanita (WAFCON) 2025 dan skuad futsal lelaki meraih kejuaraan muncul juara AFCON Futsal 2024 serta mara ke suku akhir Piala Dunia Futsal 2024.

Maghribi berjaya mencatatkan kejayaan luar biasa dalam tempoh yang singkat, meskipun suatu ketika dahulu berada pada kedudukan yang jauh lebih rendah dalam hierarki bola sepak dunia.

Sumber laporan Al Jazeera menjelaskan bahawa kejayaan negara tersebut berpaksikan kepada tiga tonggak utama iaitu tadbir urus yang baik, pelaburan kewangan, dan sumber manusia yang kompeten.

Maghribi
Kredit Foto: Alfredo ESTRELLA / AFP

Faktor Peningkatan Mendadak Maghribi

Pelan Komprehensif

Kejayaan Maghribi pada kejohanan-kejohanan yang dinyatakan serta tidak ketinggalan bidaan negara itu yang berjaya untuk menjadi tuan rumah Piala Dunia FIFA 2030 bersama Sepanyol dan Portugal, bukanlah sesuatu yang berlaku secara kebetulan.

Sebaliknya, transformasi itu berpunca daripada struktur pembangunan yang dibina secara berperingkat dan konsisten.

Selepas tersingkir di peringkat kumpulan pada 1998, skuad Atlas Lions gagal melayakkan diri ke Piala Dunia seterusnya sehingga 2018, selain turut terlepas tiga edisi Piala Negara-Negara Afrika pada era 1990-an.

Keputusan yang mengecewakan ini berpunca daripada struktur bola sepak yang ketika itu tidak mempunyai sistem tersusun dalam pencarian bakat, pembangunan pemain atau profesionalisme.

Segala-galanya mula berubah dengan projek baharu yang diterajui oleh Presiden Persekutuan Bola Sepak Diraja Maghribi (FRMF), Fouzi Lekjaa.

Selepas pelantikannya pada 2017, keputusan pasukan-pasukan Maghribi mula menunjukkan peningkatan ketara hasil pelaksanaan pelan yang merangkumi seluruh sistem bola sepak negara, merentasi semua peringkat umur serta melibatkan pasukan lelaki dan wanita dengan kelab-kelab tempatan turut memainkan peranan penting dalam proses pembangunan tersebut.

Kejayaan Mula Membuahkan Hasil

Dengan Lekjaa menerajui FRMF, beliau memberikan fokus sepenuhnya kepada pembangunan infrastruktur sukan di seluruh negara, termasuk pembinaan stadium baharu serta menaik taraf fasiliti sedia ada.

Hasilnya, Maghribi berjaya menjadi tuan rumah AFCON 2025 di sembilan stadium antarabangsa mereka, selain berjaya memenangi bidaan untuk menjadi tuan rumah bersama Piala Dunia FIFA 2030.

Menurut sumber laporan FIFA, ketika bola sepak Maghribi berada pada tahap yang kurang memberangsangkan pada 2009, Raja Mohammed VI telah membina sebuah akademi bola sepak dengan kos €13 juta bagi tujuan pembangunan sukan di peringkat nasional.

Akademi tersebut bukan sahaja memberi tumpuan kepada aspek bola sepak semata-mata  tetapi turut menyediakan pendidikan akademik lengkap dengan ruang pembelajaran khusus termasuk sepuluh bilik darjah.

Ia juga dilengkapi fasiliti perubatan sukan moden yang direka untuk melahirkan pemain profesional masa depan.

Beberapa pemain berbakat telah lahir daripada akademi ini, antaranya Youssef En-Nesyri, Nayef Aguerd, Hamza Mendyl dan Azzedine Ounahi, selain sembilan pemain skuad B-17 kebangsaan serta enam pemain pasukan wanita.

Akademi ini kini menjadi ‘kilang bakat’ utama bola sepak Maghribi dan antara tunjang penting kepada kejayaan mereka di pentas dunia.

Fokus Kepada Bakat Muda & Wanita

FRMF telah mewajibkan kelab-kelab tempatan untuk menubuhkan yayasan remaja bagi membantu proses mengenal pasti dan membangunkan bakat muda.

Hasilnya mula kelihatan apabila semakin ramai pemain berjaya menembusi liga profesional di Eropah manakala sebahagian yang lain meningkatkan tahap kelab-kelab Maghribi sehingga mampu bersaing dalam kejohanan antarabangsa.

Dalam masa yang sama, bola sepak wanita turut menerima manfaat besar daripada perubahan ini. AS FAR berjaya menjuarai Liga Juara-Juara Wanita CAF pada 2022, selain skuad Atlas Lionesses yang mara ke pusingan 16 Piala Dunia Wanita 2023.

Pelaburan dalam bola sepak remaja dan wanita menjadi faktor penting dalam transformasi keseluruhan bola sepak Maghribi.

Pada 2020, FIFA memberikan geran sebanyak $500,000 kepada setiap persekutuan bola sepak untuk menangani kesan pandemik COVID-19, dan Lekjaa telah memutuskan untuk menyalurkan dana tersebut ke arah pembangunan bola sepak wanita di Maghribi.

Dana itu digunakan untuk melantik Reynald Pedros sebagai ketua jurulatih pasukan kebangsaan wanita dengan tanggungjawab merangkumi pembangunan pasukan remaja wanita serta mengenal pasti bakat Maghribi yang beraksi di Eropah.

Di samping itu, ia terus memperkukuhkan pembangunan bola sepak di peringkat domestik.

Brazil
Kredit Foto: TIMOTHY A. CLARY / AFP

Hidu Bakat Dari Luar Negara

FRMF turut memanfaatkan sepenuhnya komuniti diaspora yang besar, khususnya pemain keturunan Maghribi yang beraksi di negara dengan tradisi bola sepak kuat seperti Belanda, Sepanyol dan Perancis.

Cabaran utama selepas mengenal pasti pemain-pemain ini ialah untuk memujuk mereka mewakili Maghribi di peringkat antarabangsa.

Hasil pendekatan ini, Maghribi berjaya mengesan bintang-bintang seperti Hakim Ziyech, Sofyan Amrabat, Nordin Amrabat, Achraf Hakimi dan Noussair Mazraoui yang akhirnya menjadi tunjang utama kejayaan Atlas Lions menamatkan Piala Dunia 2022 di tempat keempat.

Skuad Atlas Lionesses juga tidak terkecuali menerima impak positif apabila beberapa pemain seperti Yasmine Zouhir yang beraksi bersama Real Betis, Imane Saoud di Nantes, serta bintang Leicester City, Rosella Ayane turut memperkuatkan pasukan.

Pemain tempatan pula turut meningkat ke tahap lebih tinggi hasil penambahbaikan dalam liga lelaki dan wanita, menjadikan persaingan domestik lebih kompetitif.

Selain itu, jurulatih-jurulatih Maghribi turut diberi peluang untuk menimba pengalaman, belajar dan membina kepakaran bagi mengisi jawatan dalam pasukan kebangsaan.

Pelantikan Walid Regragui sebagai ketua jurulatih pasukan lelaki pada 2022 juga mencerminkan pendekatan baharu ini apabila kini hampir semua peringkat umur pasukan kebangsaan diuruskan oleh jurulatih tempatan.

Ketika Walid meletakkan jawatan kira-kira tiga bulan sebelum Piala Dunia 2026, Lekjaa mengambil keputusan untuk ‘menaikkan pangkat’ Mohamed Ouahbi yang sebelum ini membimbing skuad B-20 Maghribi muncul juara dunia.

Selepas bertahun-tahun berada dalam fasa suram, Maghribi kini muncul sebagai kuasa besar bola sepak hasil usaha kolektif yang membentuk kekuatan baharu bola sepak Maghribi

Sumber