Maghribi berjaya melangkah ke pusingan 16 Piala Dunia 2026 selepas menundukkan Belanda 3-2 menerusi penentuan sepak aksi pada aksi yang berlangsung di Estadio Monterrey, Mexico sebentar tadi.
Pemenang terpaksa ditentukan menerusi sepakan penalti selepas aksi yang berlangsung selama 120 minit terikat 1-1.
Keadaan yang menunjukkan kemenangan manis dilakarkan skuad kendalian Mohamed Ouahbi itu tidak hadir dengan mudah.
Wakil Afrika itu mempamerkan aksi yang cukup baik sepanjang perlawanan apabila dilihat cukup hebat menguasai permainan dan beberapa kali mengancam kubu Belanda.
Namun penjaga gol, Bart Verbruggen mempamerkan aksi cukup cemerlang dalam menghalang gawangnya daripada dibolosi barisan pemain Maghribi.
Penjaga gol berusia 23 tahun itu menggagalkan tandukan Neil El Aynaoui di atas garisan gol pada minit ke-20 dan seminit kemudian menafikan pula rembatan Achraf Hakimi dari sebelah kanan kawasan penalti.
Belanda mendapat peluang terbaik pada minit ke-48, namun tandukan Micky van de Ven dalam kawasan penalti diselamatkan penjaga gol, Yassine Bounou.
Memasuki minit ke-52, Hakimi hampir meletakkan Maghribi dihadapan tetapi ledakan kaki kirinya hanya menggegarkan palang gol ketika Verbruggen sudah pun tertewas.
Gol yang dinantikan akhirnya hadir pada minit ke-72 selepas Cody Gakpo menyudahkan peluang hasil serangan balas pantas untuk memisahkan kedua-dua pasukan.
Gol itu disambut dengan tangisan oleh Gakpo kerana beliau baharu sahaja kehilangan bayi dalam kandungan pasangannya beberapa hari lalu.
Tersentak dengan jaringan tersebut, Maghribi yang menghuni ranking keenam dunia memberikan tekanan dan usaha usaha membuahkan hasil pada masa kecederaan.
Berpunca daripada hantaran cantik Chemsdine Talbi yang terus mencari Issa Diop dalam kawasan penalti Belanda ditanduk masuk pertahanan itu untuk mengikat kembali kedudukan.
Maghribi kemudiannya terlepas peluang keemasan pada minit ke-96 selepas rembatan jarak dekat Soufiane Rahimi diselamatkan Verbruggen.
Ketandusan jaringan pada masa tambahan menyaksikan pemenang terpaksa ditentukan menerusi sepakan penalti.
Belanda bermula dengan baik apabila Teun Koopmeiners menyudahkan sepakan dan sepakan Neil El Aynaoui pula sekadar singgah di palang gol.
Namun, kegagalan Justin Kluivert, Quinten Timber dan Crysencio Summerville menyudahkan sepakan memberikan ruang seluas-luasnya buat Maghribi untuk menoktahkan kemenangan.
Yassine Bounou muncul wira apabila menyelamatkan sepakan Summerville dan Ismael Saibari yang mengambil sepakan kelima tidak melepaskan peluang untuk memastikan slot ke pusingan 16 menjadi milik Maghribi,
Kemenangan yang sekali gus menempah pertemuan Maghribi menentang tuan rumah bersama, Kanada.
Rangkuman Sepakan Penalti
Belanda
1) Teun Koopmeiners – Gol
2) Justin Kluivert – Terkena Tiang Gol
3) Wout Weghorst – Gol
4) Quinten Timber – Tersasar Sebelah Kanan
5) Crysencio Summerville – Diselamatkan Yassine Bounou
Maghribi
1) Neil El Aynaoui – Terkena Palang Gol
2) Soufiane Rahimi – Gol
3) Chemsdine Talbi – Gol
4) Achraf Hakimi – Terkena Tiang Gol
5) Ismael Saibari – Gol