Brazil dan Maghribi sekadar berpuas hati dengan satu mata dalam aksi pembukaan kumpulan C Piala Dunia 2026 selepas terikat 1-1 pada perlawanan yang berlangsung di New York New Jersey Stadium sebentar tadi.
Seperti dijangka, Brazil tidak diberikan laluan mudah pada perlawanan ini berbekalkan kepada status Maghribi sebagai antara kuasa besar bola sepak Afrika dengan kehadiran Achraf Hakimi, Brahim Diaz, Yassine Bounou dan ramai lagi.

Brazil, Maghribi Sama Handal
10 minit awal memperlihatkan penguasaan permainan ditampilkan Maghribi dengan aksi tersusun sebelum Brazil kembali tersedar daripada lamunan.
Juara lima kali itu bagaimanapun tersentak pada minit ke-21 selepas Ismael Saibari meletakkan Maghribi dihadapan.
Berpunca daripada hantaran lolos Brahim Diaz, penyerang PSV Eindhoven itu melakukan kuisan dari luar kawasan penalti ketika Alisson Becker keluar daripada posisinya bagi memisahkan kedua-dua pasukan.
Skuad kendalian Mohamed Ouahbi itu hampir melebarkan kedudukan berselang sembilan minit kemudian, namun percubaan Brahim Diaz dalam kawasan penalti lemah dan mudah ditangkap kemas Alisson.
Memasuki minit ke-32, Brazil kembali menyamakan kedudukan menerusi rembatan padu Vinicius Jr dalam kawasan penalti yang tidak mampu diselamatkan Yassine Bounou.

Lucas Paqueta terlepas peluang terbaik untuk memberikan kelebihan buat kendalian Carlo Ancelotti itu pada masa kecederaan babak pertama selepas Bounou menggagalkan percubaan akrobatik pemain tengah menyerang tersebut.
Pemain kedua-dua pasukan berhempas-pulas mendapatkan jaringan pada babak kedua tetapi usaha mereka tidak membuahkan hasil untuk kedudukan 1-1 itu kekal hingga wisel penamat ditiupkan pengadil bertugas, Slavko Vincic dari Slovenia.