Baru-baru ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan dana tambahan sebanyak RM5 juta kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk menguruskan pasukan kebangsaan.

Pengumuman itu dibuat selepas skuad Harimau Malaya kendalian Kim Pan Gon berjaya mengikat pasukan gergasi Asia, Korea Selatan 3-3 pada aksi terakhir peringkat kumpulan saingan Piala Asia 2023 di Qatar.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Baca Juga:

Bagaimanapun, ia mengundang pelbagai reaksi dan kritikan dalam kalangan peminat sukan tanah air yang berpendapat sukan lain patut dapat dana yang sama seperti bola sepak.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh tampil memberikan penjelasan kenapa bola sepak sering dapat dana yang lebih besar berbanding sukan lain seperti Badminton dan Hoki.

“Dulu saya pun persoalkan kenapa bola sepak mendapat dana yang begitu besar. Sekarang saya sudah faham.

“Penyokong mahu skuad Harimau Malaya sering layak ke Piala Asia. Tetapi tanpa dana yang mencukupi, bagaimana mereka hendak bersaing? Sebagai perbandingan, cuba lihat berapa banyak dana yang diperuntukan kepada pasukan lawan.

“Harimau Malaya memerlukan pendedahan di peringkat antarabangsa yang mana ianya bukan murah. Kos penerbangan sahaja terlalu tinggi,” tulis Hannah menerusi laman instagram story.

Menurut Hannah, dana ini turut dipantau oleh Kementerian Kewangan Malaysia dan FAM tidak dibenarkan menggunakannya untuk membiayai kos operasi.

“Nilai RM5 juta ini akan membantu mengurangkan beban kewangan FAM tetapi FAM juga perlu cari sumber kewangan lain.

“Kementerian Kewangan telah menetapkan beberapa kriteria. Antaranya, duit RM5 juta ini tidak boleh digunakan untuk kos operasi seperti bil utiliti dan pembayaran gaji. Dana ini juga akan diaudit dari semasa ke semasa.

“Ingat, ini bukan ganjaran tetapi dana untuk membantu mereka menghadapi kempen Kelayakan Piala Dunia dan juga Piala Asia yang seterusnya,” tegas Hannah Yeoh.

Petikan kenyataan Hannah Yeoh di laman Instagram

Peminat juga tidak boleh nafikan bola sepak adalah sukan nombor 1 di dunia dan juga di Malaysia namun Hannah Yeoh menegaskan pihaknya tidak akan mengabaikan sukan lain.

“Kita ada 103 sukan yang berdaftar. Bukan semua ada jumlah penyokong yang ramai seperti bola sepak dari segi populariti. Tayangan skrin besar sahaja boleh tarik puluhan ribu penyokong.

“Ekosistem bola sepak juga berbeza secara global. Piala Dunia dan Piala Asia melibatkan dana berbilion-bilion USD. Saya yakin dengan penambahbaikan lain yang KBS akan laksanakan melalui insentif cukai dan program pembangunan bakat, kita boleh terus melangkah ke hadapan,” jelas Hannah.