Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengumumkan peruntukan dana tambahan sebanyak RM5 juta kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk menguruskan skuad kebangsaan.

Anwar mengakui kagum dengan semangat juang skuad kendalian Kim Pan Gon apabila berjaya mengikat pasukan gergasi Asia, Korea Selatan 3-3 pada aksi terakhir peringkat kumpulan E Piala Asia 2023 semalam.

Baca Juga:

“Pasukan Harimau Malaya menunjukkan keupayaan kesungguhan semangat mereka tidak gentar walaupun telah kalah dalam 2 pertarungan, tapi nampak telah menunjukkan satu perlawanan yang sangat menakjubkan dan hebat, bertarung dengan pasukan yang sangat kuat, Korea Selatan.

“Saya ucapkan tahniah kepada mereka mara terus. Kerana menunjukkan semangat sedemikian.

“Atas pertimbangan Kementerian Belia dan Sukan, kerajaan telah bersetuju meluluskan tambahan peruntukan RM5 juta ringgit kepada FAM, supaya dapat menguruskan pasukan bola dan meningkatkan keupayaan mereka,” kata Anwar kepada pemberita.

Satu mata yang diraih itu menyaksikan Harimau Malaya memperbaiki pencapaian buruk pada edisi 2007 yang mana skuad negara yang beraksi atas tiket selaku tuan rumah gagal mengutip sebarang mata pada ketika itu.

Skuad kendalian Kim Pan Gon yang berada di ranking 130 dunia bermula positif dengan benteng pertahanan berjaya mengekang asakan pasukan di tangga ke-23 dunia itu selain jentera serangan skuad negara turut mencipta beberapa gerakan ke kubu lawan.