Kemenangan 2-1 Manchester United ke atas Manchester City pada aksi final Piala FA tempoh hari telah membawa kelab tersebut ke Europa League 2024/25 meskipun menamatkan saingan liga dikedudukan kelapan.
Kejayaan itu pastinya menggembirakan para peminat The Red Devils selepas mengharungi musim yang penuh dengan kekecewaan.
Baca Juga:
- Tewaskan City, Manchester United Juara Piala FA 2023/24
- Gaji Pengurus Dan Pemain Manchester United Dipotong
- Ten Hag Tak Mahu Ucap ‘Good Bye’ Kepada Penyokong Manchester United
Namun, terdapat masalah yang sedang dihadapi kelab tersebut untuk menyertai kejohanan tier kedua eropah itu kerana satu lagi kelab dimiliki oleh INEOS, OGC Nice turut mara ke Liga Europa.
Berdasarkan peraturan ditetapkan oleh Kesatuan Bola Sepak Eropah (UEFA), dua kelab yang dimiliki oleh pemilik sama tidak dibenarkan berada dalam satu kejohanan.
Melihatkan kepada kedudukan dalam saingan liga, OGC menamatkan kempen di tempat kelima manakala Manchester United seperti ketahui hanya menghuni tangga kelapan.
Pada mulanya ia kelihatan tidak ada sebarang masalah untuk kedua-dua pasukan beraksi dalam Liga Europa musim hadapan kerana INEOS dan Sir Jim Ratcliffe hanya memiliki kurang 30 peratus pegangan saham di Manchester United.
Namun, pelan pengambilalihan awal INEOS termasuk langkah untuk meningkatkan pemilikan melebihi had 30 peratus pegangan saham memberi makna Manchester United telah melanggar peraturan UEFA.
Sekiranya mereka melepasi angka pegangan tersebut, salah satu pasukan antara Manchester United atau OGC Nice akan diturunkan daripada Europa League ke Europa Conference League.
Sehubungan dengan permasalahan tersebut, INEOS telah mengeluarkan kenyataan dalam usaha untuk menyelesaikan perkara itu.
“Kami sedar kedudukan kedua-dua kelab dan kami sedang berdialog secara terus dengan pihak UEFA.”
“Kami yakin bahawa kami mempunyai penyelesaian untuk musim depan di Eropah,” ujar INEOS menurut sumber laporan Goal.