Manchester United telah melancarkan jersi home dan away bagi musim 2025/26 pada awal bulan ini dan seperti kebiasaan penyokong begitu teruja untuk membeli jersi baharu itu walaupun melalui pengalaman ‘mengerikan’ pada musim lalu.

Di sebalik keterujaan itu, satu notis di kedai barangan rasmi kelab, Manchester United Megastore dilihat lebih mencuri tumpuan.

Baca Juga:

Hal ini kerana Manchester Megastore tidak membenarkan sekiranya para peminat The Red Devils ingin mencetak nama tiga legenda mereka di jersi baharu tersebut.

Tiga legenda yang dimaksudkan ialah Eric Cantona, Sir David Beckham dan Cristiano Ronaldo.

Manchester United
Jersi Away Manchester United bagi musim 2025/26. Kredit Foto: Vincent Carchietta/Getty Images/AFP (Photo by Vincent Carchietta / GETTY IMAGES NORTH AMERICA / Getty Images via AFP)

Ini Cerita Sebenar Libatkan Legenda Manchester United

Menurut sumber laporan Goal, terdapat penyokong setia Manchester United telah mendedahkan perkara tersebut dalam satu ciapan di laman X beliau.

Simon Lloyd yang mengunjungi kedai rasmi tersebut telah mendapati satu kenyataan dipaparkan di skrin dinding, berbunyi: ‘Disebabkan sekatan pelesenan, kami tidak dapat mencetak nama Cantona, Beckham, dan Ronaldo.’

Larangan tersebut adalah disebabkan hak imej peribadi secara penuh dimiliki oleh ketiga-tiga legenda tersebut dan secara tidak langsung kelab tidak dibenarkan mencetak nama mereka di jersi melalui kedai rasmi.

Manchester United
Kredit Foto: Vincent Carchietta/Getty Images/AFP (Photo by Vincent Carchietta / GETTY IMAGES NORTH AMERICA / Getty Images via AFP)

Dalam dunia bola sepak moden, hak imej adalah satu aspek komersial yang amat penting. Pemain-pemain ternama seperti Cantona, Beckham dan Ronaldo mempunyai nilai komersial yang tinggi.

Sehubungan dengan itu, mereka mengekalkan kawalan penuh terhadap penggunaan nama dan wajah mereka dalam sebarang bentuk promosi atau produk jualan.

Ini bermaksud, walaupun mereka pernah menjadi sebahagian daripada sejarah gemilang kelab, Manchester United tidak boleh secara automatik mencetak nama mereka tanpa persetujuan atau perjanjian lesen khas.

Ketiga-tiga legenda ini telah mencipta pelbagai kenangan manis di Old Trafford, terutamanya ketika era kegemilangan di bawah Sir Alex Ferguson. Ronaldo malah sempat kembali ke United pada tahun 2021.

Namun, kedatangan buat kali kedua Ronaldo tidak bertahan lama selepas berlaku perselisihan dengan jurulatih ketika itu, Erik ten Hag dan memaksa beliau untuk melangkah pergi sekali lagi.