Pemain pertahanan tengah kelahiran Korea Selatan, Kim Min-jae dikatakan menarik minat tiga kelab Eropah untuk mendapatkan khidmatnya.

Chelsea merupakan antara kelab yang telah menunjukkan minat untuk merekrut pemain Bayern Munich tersebut.

Baca Juga:

Tambahan pula jentera pertahanan Chelsea jelas berada dalam keadaan menggusarkan apabila dibolosi sebanyak 39 gol dalam kempen liga setakat ini.

Menurut sumber laporan Sky Sports Germany, Chelsea sudah memulakan langkah pantas dengan mengadakan rundingan awal dengan ejen Min-jae bagi dalam usaha untuk mendapatkan khidmat pemain tersebut menjelang musim hadapan.

Bagaimanapun, The Blues dijangka bakal berdepan saingan sengit daripada Newcastle United serta gergasi Serie A, Juventus, yang turut mengintai peluang untuk membawa Kim Min-jae ke kelab masing-masing.

Difahamkan, berhijrah ke saingan English Premier League (EPL) menjadi keutamaan buat Min-jae yang sudah dua musim menyarung jersi Bayern Munich.

Sehubungan dengan itu, minat yang ditunjukkan oleh Chelsea dan Newcastle United pastinya amat dinantikan oleh beliau untuk mengembangkan lagi karier hebatnya.

Bersama Bayern Munich, Min-jae telah membuat 78 penampilan dalam semua pertandingan disertai.

Keupayaan fizikal yang mantap serta ketenangannya ketika mengawal benteng pertahanan menjadikan Kim Min-jae antara pemain paling bernilai dalam posisi tersebut di Eropah ketika ini.

Tidak hairanlah mengapa kelibatnya menjadi rebutan kelab-kelab ternama, terutamanya dalam usaha memperkukuh barisan pertahanan menjelang musim baharu.

Pada usia yang bakal menjengah 29 tahun pada 15 November nanti, beliau dilihat bersedia untuk mengambil cabaran baharu dengan kehadiran ke EPL yang bakal menjadi pentas terbaik untuk menguji keupayaannya di liga paling kompetitif di dunia itu.