Jurulatih berpengalaman, Irfan Bakti sudah mula meluahkan kebimbangan mengenai kehadiran begitu ramai pemain naturalisasi dalam skuad Harimau Malaya.
Baru-baru ini, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengumumkan kemasukan pemain naturalisai baharu, Romel Morales ke kem latihan pusat skuad kebangsaan sebagai persiapan menghadapi Piala Asia tahun depan.
Baca Juga:
- Nama Kim Pan Gon Dan Harimau Malaya ‘Viral’ Di Korea Selatan
- Romel Morales Senjata Baharu Kim Pan Gon Di Piala Asia 2023
- Kim Pan Gon Kekal Sebagai Pengendali Harimau Malaya Sehingga 2025
Namun begitu, Irfan berharap pengendali Harimau Malaya, Kim Pan Gon tidak lupa mengetengahkan beberapa bakat tempatan yang berkualiti seperti Arif Aiman.
“Pasukan kita terlalu ramai pemain naturalisasi. Mungkin Morales kita boleh faham dia bermain baik dengan KL City musim ini di mana berjaya menjaringkan banyak gol.
“Tapi janganlah terlalu ramai hingga kita lupa di mana kita tetap kena lahirkan pemain tempatan seperti Arif Aiman, Faisal Halim dan Akhyar Rashid. Jepun pun ada pemain naturalisasi dulu, tapi tidak terlalu ramai macam kita,” katanya dalam Harian Metro.
Morales pemain naturalisasi kelapan selepas Mohamadou Sumareh, Liridon Krasniqi, Guilherme de Paula, Lee Tuck, Sergio Aguero, Endrick Dos Santos dan Paulo Josue.
Mengulas mengenai pemilihan 26 pemain ke kem latihan pusat skuad Harimau Malaya, Irfan mengakui tidak setuju dengan kemasukan pemain tengah JDT, Natxo Insa kerana kurang beraksi pada musim ini.
“Cuma saya kurang bersetuju dengan Natxo kerana tahun ini berapa banyak perlawanan yang dia bermain. Bagi saya Pan-gon perlu buktikan kemampuan Natxo adakah dia layak dipanggil.
“Syamer Kutty (Abba) dan Khuzaimi (Piee) pun sama juga tak ada minit dan kurang bermain. Jadi macam mana boleh menilai pemain ini,” katanya.
Skuad Harimau Malaya akan memulakan kem latihan pusat pada 26 disember ini sebelum berlepas Qatar menghadapi kempen Piala Asia 2023.
Kim Pan Gon telah mengekalkan seramai 22 daripada 25 pemain yang telah dipanggil pada kem latihan pusat terdahulu bagi dua perlawanan Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 menentang Republik Kyrgyz dan Chinese Taipei, November lalu.