Seorang lelaki berumur 46 tahun dari Perak ditangkap pihak berkuasa selepas nekad menggunakan laluan haram untuk pulang dari Indonesia semata-mata mahu menyembunyikan rahsia perkahwinan keduanya.
Lelaki tersebut mendakwa dia terpaksa menggunakan “jalan tikus” kerana pasportnya disimpan oleh isteri pertama, yang langsung tidak tahu bahawa dia mempunyai keluarga lain di Medan.
Rahsia itu terbongkar apabila dia ditahan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Selangor dalam satu operasi khas awal pagi semalam, bersama 28 pendatang asing tanpa izin (PATI) lapor NST.

Menurut Pengarah Maritim Selangor, Kepten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh, lelaki itu mengaku baru sahaja pulang dari melawat isteri keduanya yang sedang hamil lima bulan.
Dia sanggup menggadai nyawa dan melanggar undang-undang menggunakan laluan haram tersebut hanya supaya rahsia poligaminya itu tidak dikesan oleh isteri pertama di rumah.
Tangkapan pertama dilakukan pada jam 12.30 tengah malam di kedudukan kira-kira 1.5 batu nautika di barat daya Bagan Nahkoda Omar, Sabak Bernam, hasil maklumat risikan mengenai aktiviti penyeludupan manusia.
Pihak berkuasa telah memintas sebuah bot fiber tanpa nombor pendaftaran yang dikendalikan oleh seorang tekong warga Myanmar berusia 36 tahun.
Di atas bot tersebut, terdapat 26 warga Indonesia yang terdiri daripada 17 lelaki (termasuk seorang kanak-kanak) dan sembilan wanita berusia antara lima hingga 53 tahun, selain dua lelaki warga tempatan.
Dalam serbuan kedua pada jam 2 pagi, pihak APMM sekali lagi memintas sebuah bot di kedudukan dua batu nautika di barat daya kawasan yang sama. Bot yang dikendalikan oleh tiga warga Indonesia itu membawa 24 pendatang asing, merangkumi 19 lelaki dan lima wanita, serta seorang bayi perempuan berusia tiga bulan yang dibawa oleh bapanya.
Hasil siasatan mendedahkan bahawa sindiket penyeludupan ini mengenakan bayaran antara RM1,500 hingga RM2,500 bagi setiap individu, bergantung kepada jarak perjalanan dan lokasi pendaratan.
Menurut Kepten Abdul Muhaimin, kesemua pendatang yang ditahan gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah. Kes kini disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63 atas kesalahan keluar dan masuk negara secara tidak sah, serta Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM).
Kesemua suspek bersama bot yang dirampas telah dibawa ke jeti Pasukan Polis Marin di Pulau Indah untuk tindakan lanjut.