Dahulunya dipandang gah, kini hanya mampu menduduki di kedudukan sama seperti Malaysia di dalam pasport terkuat dunia pada kali ini.
Memetik CNN, Indeks Pasport Henley adalah salah satu daripada beberapa kedudukan yang mengukur kekuatan pasport dalam aspek ini dan, buat pertama kali dalam sejarah 20 tahunnya, pasport AS telah gugur sepenuhnya daripada senarai 10 teratas.

Difahamkan Amerika Syarikat jatuh ke tempat ke-12 dalam kedudukan suku tahunan terkini, terikat dengan Malaysia.
Sementara tiga pasport Asia kini menguasai tangga teratas papan kedudukan Singapura, dengan akses tanpa visa ke 193 destinasi di seluruh dunia kemudian Korea Selatan, dengan akses ke 190 destinasi dan Jepun, dengan 189 destinasi.
Warganegara kedua-dua negara (AS dan Malaysia) kini menikmati akses tanpa visa ke 180 daripada 227 negara dan wilayah yang dijejaki oleh indeks tersebut.
Indeks ini diwujudkan oleh firma penasihat kewarganegaraan dan kediaman global yang berpangkalan di London, Henley & Partners, dan menggunakan data eksklusif daripada Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA).
Dan disebabkan Henley mengira berbilang negara dengan skor yang sama sebagai satu kedudukan dalam senarainya, sebenarnya terdapat 36 negara yang berada di kedudukan lebih tinggi daripada AS dalam senarai tersebut.
Pada tahun 2014, AS pernah menduduki tempat No.1, dan pada Julai tahun ini ia masih kekal dalam 10 teratas. Jadi, apakah puncanya di sebalik penurunan selanjutnya ini?
Penurunan ini disebabkan oleh siri perubahan akses. Pada bulan April, Brazil menarik balik akses tanpa visa untuk warganegara dari AS, Kanada dan Australia kerana kekurangan timbal balik (reciprocity).
China pula telah memperkenalkan dasar yang lebih mesra, menawarkan pengecualian visa kepada berpuluh-puluh negara yang kebanyakannya Eropah, termasuk Jerman dan Perancis, tetapi AS tidak termasuk dalam senarai tersebut.