Ong Yew Sin-Teo Ee Yi memastikan Malaysia masih mempunyai wakil untuk beraksi di peringkat separuh akhir kejohanan badminton Japan Masters 2023 selepas mereka berjaya menundukkan Lee Fang-Chih-Lee Fang-Jen di suku akhir, sebentar tadi.

Tekanan sudah pastinya digalas pasangan beregu nombor dua negara itu selepas melihat tiga rakan sepasukan mereka tumbang satu demi satu pada aksi di sebelah pagi tadi.

Baca Juga:

Berdepan lawan yang berada di ranking ke-25 dunia serta memiliki rekod kemenangan 1-0 bukanlah petunjuk sebenar aksi di gelanggang.

Pasangan kembar dari Chinese Taipei itu jelas tidak memberikan laluan mudah buat Yew Sin dan Ee Yi untuk mencapai kemenangan.

Ia jelas dibuktikan apabila Ong Yew Sin-Teo Ee Yi meraih kemenangan dengan jurang yang rapat 21-19 pada set pertama.

Namun, laluan lebih selesa pada set kedua apabila mereka mengesahkan kemaraan ke separuh akhir dengan kemenangan 21-16 untuk menempah pertemuan dengan pasangan China, Liu Yu Chen-Ou Xuan Yi.

Berdasarkan pada tiga pertemuan terakhir melibatkan kedua-dua pasangan, Yew Sin-Ee Yi mencatatkan satu kemenangan iaitu pada pertemuan kedua.

Sementara itu, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei gagal menyaingi kehebatan pasangan beregu campuran nombor satu dunia, Zheng Si Wei-Huang Ya Qiong selepas tewas 14-21, 14-21.

Gandingan Tan Kian Meng-Lai Pei Jing pula tunduk di tangan pasangan kedua dunia, Yuta Watanabe-Arisa Higashino 15-21, 16-21.

Manakala Pearly Tan-M. Thinaah juga terpaksa menelan kepahitan tewas kepada wakil Jepun, Rena Miyaura-Ayako Sakuramoto 13-21, 18-21.